Halaman

Isnin, 31 Disember 2012

Catatan Kecil II : Semalam Yang Dibuhul Kejap


DETIK-detik akhir 2012 telah Aku habiskan menekuni lembar-lembar soalan peperiksaan akhirku. Muka taip setiap kertas soalan yang Aku tatap kian mengembang dan mengecut pada satu-satu masa. Dan, pada akhirnya Aku menutup langsung bangun dari kerusi lalu keluar tanpa memikirkan kembali contengan-contengan pada buku jawapan. Hanya sekadar itu ilmu yang dapat Aku terjemahkan kepada usahaku sepanjang semester ini. Semoga 2013 mampu memberikan Aku kekuatan yang lebih untuk mengharungi samudera yang semakin angkuh ini.

Jumaat, 28 Disember 2012

Catatan Kecil I : Menyusuri Waktu

HANYA berbaki kurang 24 jam helaian modul HBML2103 ini boleh Aku selak. Tidak banyak waktu yang bersisa. Kejam amat waktu yang berlari ini menyiat-nyiat benakku. Kurang 24 jam lagi Aku perlu berada di Greenhill. Menekuni lembar-lembar kertas peperiksaan akhir semesterku. Benar. Waktu ini mencemburui Aku. Aku dihambat ke segenap ruang hanya untuk memenuhi tuntutannya. Lelah Aku menggelepar minta dibelasi. Maaf. Aku tidak punya ruang yang banyak buatku sandarkan lelahku ini. Mungkin setelah usainya kertas terakhir nanti. Mungkin. Seandainya waktu yang Aku susuri ini mampu memberikan Aku makna ketenangan.

Khamis, 27 Disember 2012

Catatan I : Pengalaman Yang Mendewasakan

ALHAMDULILLAH, hari ini upayaku untuk memasuki ruang pejabat dibantu Allah swt. Setelah hati diusik sebak melihat Sayang dan Cinta longlai melangkah masuk ke pusat asuhan. Ya, setelah menghabiskan hampir keseluruhan cuti mereka di rumah bersama-sama ibu tersayang, sudah tiba masanya mereka kembali dihantar ke pusat asuhan. Isteriku perlu membereskan tugasan-tugasan dan menghadiri mesyuarat demi mesyuarat sebelum tirai 2013 disingkap. Persediaan menghadapi sesi persekolahan yang baru pelu dirapikan dan tidak lagi mengizinkan Sayang dan Cinta berbungkus selimut sehingga matahari tinggi seperti selalu.

Bersama Ibu Cinta di Empangan Timah Tasoh, Perlis

          Siri rehlah disepanjang musim cuti bermula dari utara - Padang Besar dan Sg. Petani ke Akuarium Penang di Batu Maung bersama Abah dan Mak, terus ke Sg. Buloh menziarahi Ayah We sehingga menaiki ETS dan Aquaria KLCC bersama-sama Angah, bersiar-siar menaiki bot di pantai Teluk Batik dan mandi-manda di pantai Teluk Senangin merupakan satu siri rehlah yang menyeronokkan biar pun, benar, agak memenatkan juga. Aku membiarkan Sayang dan Cinta didewasakan dengan alam. Pendidikan bukan hanya dengan pena dan kertas tetapi juga bergurukan pengalaman.

Dalam ETS Ipoh Sentral - KL Sentral

          Aku sendiri enggan memenggal pengalaman-pengalaman yang bersimpul sepanjang usia Sayang dan Cinta itu. Betapa ketika tren ETS melalui stesen Batu Gajah, Sayang pantas memanjangkan kepala mencari 'gajah'. 
          "Ayah, mana gajah ?" 
      Aku hanya tersenyum sambil menyusun kata-kata agar peneranganku jelas pada kaca mata anak yang berusia 3 tahun itu.

Bersama Ibu dalam bot di Teluk Batik, Lumut

          Pengalaman adalah jamung penunjuk jalan yang paling akrab dalam kehidupan. Sayang dan Cinta Aku biarkan memesrai alam kerana alam adalah tunjang kepada pohon kehidupan mereka. Biar pengalaman memesrai alam ini yang mendidik mereka dengan lembut mulus angin dan rengkuhan kasar ombak. Biarkan. Kerana kehidupan ini perlu titisan air lembut yang mampu melekukkan batu.


Dengan Ayah Nyahnya di Aquaria KLCC
          Sayang dan Cinta sedang menjalani proses pembelajaran mereka. Anak-anak seusia mereka senang sekali dengan perkara-perkara yang maujud. Apatah lagi haiwan. Haiwan yang baru dipelajari ketika siri rehlah terakhir di pantai Teluk Senangin ialah,

          "Ayah, takut BELANGKAS !!!" Jerit Sayang membuatkan Cinta terperanjat dan terus melarikan diri.

Ibu, Opah dan Atuk di Kamila Motel, Teluk Senangin
          Walau apa pun, akar perlu kukuh agar pucuknya sentiasa segar dan gagah menongkah arus. Selamat merentas kehidupan buat anak-anakku, Sayang dan Cinta...

Jumaat, 21 Disember 2012

Cerpen : Saga Merah Murup Abah



ABAH masih kuat. Dalam usianya yang menjangkau 60, Abah masih mampu memutar stereng Saga merah murupnya ke sana ke mari. Seandainya minggu ini Abah berada di Meru Raya menjenguk Adik, belum tentu Abah akan berada di Desa Kencana pada minggu hadapan. Sekurang-kurangnya berehat melerai lelah sambil membetulkan pinggang yang mencucuk setelah jauh memandu. Tidak. Mungkin Abah akan memandu lagi – ke rumah Angah di Puncak Alam pula. Mungkin Abah akan ke rumah kami di Tasek Damai. Abah akan terus memandu. Semahunya.
            Mak penumpang Abah yang paling setia. Menemaninya berbual di sepanjang perjalanan. Apabila Mak mula menguap, Abah akan menepuk bahu Mak. Dan, Mak akan tersentak lalu meneruskan bualan. Sejak Abah menanggalkan kemeja dan tali leher daripada jawatannya dua tahun yang lalu, Mak sentiasa bersama Abah. Mak tidak pernah bersungut untuk selalu bersama Abah walau dalam apa keadaan sekali pun. Keperluan disiapkan selengkapnya apabila Abah membuat keputusan untuk memandu. Tidak pernah kurang segala pakaian, tuala mandi, berus gigi, sejadah, kopiah, al-Quran kecil dan ubat-ubatan. Mak begitu memahami keperluan Abah yang agak cerewet.
            Ketika Abah masih bertugas dulu, Mak yang paling sibuk menyiapkan segala keperluan apabila Abah ditugaskan ke luar kawasan. Unit Abah dulu sentiasa memerlukan Abah berada di luar daerah sehingga melangkau sempadan negeri. Mak masih setia menyiapkan segala keperluan Abah walaupun Abah sudah agak lama meninggalkan timbunan fail dan kertas-kertas berselerakan di atas meja. Sesetia Saga merah murup Abah yang masih diputar sterengnya sehingga kini.
            Kami sendiri perlu mengatur temujanji lewat kepulangan kami ke Desa Kencana pada setiap bulan. Seringkali kepulangan kami disambut dengan jendela dan pintu gelangsar yang bertutup rapat andai kepulangan kami tidak dimaklumkan. Pintu berjerejak besi berselak kemas dengan mangga kunci putih berkilat. Saga merah murup Abah yang selalu digilapnya juga tiada di garaj. Motor yang selalu Abah tunggang ke surau di hujung desa kelihatan rapi berselimut. Kelihatan seperti Abah dan Mak sedang melakukan perjalanan yang jauh. Mungkin juga ke rumah Mak Yang di Bandar Selatan. Atau melewati rumah Cu di Seri Saujana. Niat untuk membuat kejutan terpadam segera. Sayang dan Cinta kembali ke muka pintu kereta dengan wajah suram.
            “Atuk dan Opah tiada di rumah. Mungkin ke rumah Ayah Nyah.” Isteriku memujuk anak-anakku yang mula menggumam seraya mengusap-usap kepala mereka.
            Pernah juga beberapa kali Aku suarakan kerisauan. Tentang perjalanan jauh yang tidak lagi sesuai pada usia Abah yang mencecah senja. Merentas lebuhraya sepanjang masa ialah tabiat yang perlu dikurangkan. Apatah lagi Saga merah murup Abah yang seusia denganku juga agak kerap merajuk. Abah boleh saja menaiki bas ekspres. Perjalanan dengan tren juga tidak sesukar dulu. Wafiy anak Abang Manap yang tinggal di hadapan rumah tentu saja boleh menghantar Abah dan Mak ke Medan Hentian. Atau Aku sendiri boleh menjemput dan menghantar Abah dan Mak terus ke halaman rumah seandainya mahu menziarahi anak-anak atau saudara-mara.
            “Kamu sibuk. Kerja banyak di pejabat,” ujar Abah pendek, bangun lalu mencempung Cinta dan memimpin tangan Sayang, cucu-cucu kemanjaannya ke luar rumah. Menilik-nilik Saga merah murup kesayangannya.
            Mak hanya tersenyum ketika Aku memalingkan pandang ke arahnya. Benar kata Abah. Aku sering dikekang masa dengan tugasan pejabat. Ada ketika, Aku terpaksa berada di luar kawasan selama beberapa hari, mungkin beberapa minggu. Di saat itu, anak-anakku akan sekerap mungkin melakukan panggilan video kepadaku. Kecanggihan teknologi tanpa wayar dimanfaatkan seoptimum yang mungkin oleh anak-anakku. Hanya untuk menatap wajah, menyatakan kerinduan dan mendesak Aku untuk segera pulang ke rumah.
“Ayah, baliklah. Cinta rindu.”
“Ayah, Sayang nak mainan. Baliklah, Ayah.”
Pantas sekali panggilan-panggilan itu membuatkan aku dihimpit rasa bersalah. Mereka terlalu kecil untuk memahami tugas seorang pencari nafkah seperti Aku. Terlalu hijau untuk memahami pengorbananku berjauhan dengan mereka untuk memenuhi segala hak dan keperluan mereka. Mereka hanya tahu Aku akan sentiasa bersama mereka. Bermain, ketawa, bergurau, mengusap pipi dan mencium dahi mereka. Setiap masa.
Begitu Abah dan Mak. Aku tidak pernah menidakkan hak Abah dan Mak sebagai ibubapaku walau sesibuk manapun Aku. Aku akan pulang ke Desa Kencana sekerap mungkin untuk melunaskan tanggungjawabku. Belanja bulanan juga Aku bereskan setiap kali kepulanganku – walaupun itu bukan permintaan mereka. Sama seperti Abah yang tidak pernah menafikan hak Aku sebagai seorang anak di celah-celah kesempitan waktu dihambat tugasan pejabat.
            Abah memang masih kuat. Saga merah murup Abah juga masih kuat. Abah kuat kerana kami - anak-anaknya. Saga merah murup Abah kuat kerana Abah ialah tuannya. Abah tidak pernah menghampakan. Aku masih merasakan kehadirannya dalam kehidupan seharianku meski Aku sudah punya kehidupan sendiri. Aku akan bersila di sisinya setiap kali pulang ke Desa Kencana - melihat gelagatnya melayan karenah anak-anakku – cucu-cucunya yang agak ligat itu. Aku hanya sekadar mahu merasakan denyut nadinya mengalir dalam diriku. Sekadar mahu menyedari kehadirannya di sisiku.
            Abah banyak bertanya pelbagai soalan. Kebanyakannya berkisar tentang Sayang dan Cinta yang kian membesar. Abah akan mula berleter panjang andai ada aduan yang dipanjangkan kepadanya perihal cucu-cucu kemanjaannya itu.
            “Jangan dipukul anak-anak. Anak-anak sebesar ini belum mengerti apa-apa walau sekuat mana pun mereka dipukul. Memadai sekadar ditegur.”
            Setiap kali Aku berhadapan dengan keletah anak-anakku, Aku sentiasa mengingati Abah. Abah memang kuat. Abah kuat kerana kami – anak-anaknya. Bukan sekali dua Aku menyaksikan Abah hampir-hampir tidak berjaya dalam kehidupan sukarnya. Terlalu banyak. Tapi, Abah masih kuat. Abah masih gigih hanya kerana kami – anak-anaknya. Abah masih mampu berdiri hanya kerana kami – anak-anaknya. Abah cekal meneruskan kehidupan semarak Saga merah murupnya – hanya kerana kami – anak-anaknya. Dan, hanya kerana kami – anak-anaknya, Abah masih mampu tersenyum walau segetir mana pun perjalanan hidup yang ditempuhinya.
            Bukan sekali dua Aku lihat Abah bersendirian bungkam sambil menyeka matanya. Terlalu banyak. Dan, dalih Abah tetap sama.
            “Mata Abah pedih. Masuk habuk.” Ringkas.
            Abah memang pintar menyembunyikan riak gundah pada raut wajahnya. Terutama ketika kami melintasi kedai mainan. Abah memang tidak pernah gagal melunaskan permintaan kami. Aku sendiri tidak pernah mengerti sebanyak manakah wang yang berlipat-lipat di dalam dompetnya yang menggelupas itu.
            Benar bicara Abah. Anak-anak memang tidak mengerti apa-apa. Dan, biarlah mereka tidak mengerti. Aku lebih senang begitu. Mereka tidak perlu mengerti kegetiran Aku menyuapkan mereka dengan nasi yang Aku peroleh daripada titis keringat Aku yang tumpah. Tidak perlu. Kerana kehadiran mereka – Sayang dan Cinta - adalah nikmat kurniaan-Nya yang perlu Aku syukuri dengan cara itu.
            Aku percaya Abah juga begitu. Kegetiran hidup dan lingkungan waktu yang terhad bukan alasan Abah. Abah sentiasa berada bersama-sama kami – anak-anaknya walau sejauh mana Abah dihambat tugasan rasmi pejabat. Abah akan lekas-lekas menukar pakaian dan membawa kami keluar bersiar-siar di sekeliliing rumah setiap kali pulang dari pejabat.
            Kami akan panjat tingkap memerhati keluar halaman andai Abah tidak sampai ke rumah pada waktu-waktu kebiasaannya. Jiwa sering diterpa kacau. Bukan memikirkan perkara buruk yang berkemungkinan terjadi pada Abah di jalanan, tapi waktu yang semakin larut. Abah tidak mungkin membawa kami bersiar-siar jika matahari mula mengengsot. Dan, kami akan terlepas ais krim yang dihimpit roti ban Pak Pin yang berjualan keliling kampung dengan basikal roda tiganya itu. Itu yang lebih membimbangkan kami.
            Benar kata-kata Abah. Anak-anak tidak mengerti apa-apa. Tidak seharusnya Sayang dan Cinta diminta mengerti dalam apa jua kepayahan hidup sekali pun. Mereka hanya anak-anak kecil yang perlu perhatian dan kasih sayang, dimanjai dan diakrabi. Anak-anakku – Sayang dan Cinta – hanya berusia sekitar 3 dan 4 tahun. Usia yang sama ketika Aku merengek meminta dibelikan kereta kawalan jauh yang harganya sama dengan harga sekampit beras 10 kilogram. Tanpa dalih, Abah mula membuka dompet lalu mengira sejumlah wang di dalamnya. Tidak cukup. Abah menyeluk saku pula. Terjatuh beberapa keping not RM1 dan RM5 dan Abah mengira lagi. Akhirnya, not-not itu bertukar tangan dan Aku pantas menggendong kereta kawalan jauh itu terus ke kereta tanpa menoleh kepada Abah. Pada ketika yang sama, Angah dan Adik mula menjerit kepada Abah meminta dibelikan kereta yang sama untuk mereka. Abah tetap tersenyum.
Abah mula memutar stereng Saga merah murupnya ke sana sini sebaik saja kami mula bekerja dan berkahwin. Seminggu sekali kadang-kadang dua kali Mak akan menemani Abah memandu. Tasek Damai, Puncak Alam, Meru Raya, Bandar Selatan, Seri Saujana dan ke mana-mana saja. Abah hanya diam ketika dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti memandunya itu. Andai terlalu panjang leteran, Abah akan bangun ke halaman. Sayang dan Cinta akan membuntuti Abah hingga ke luar.
            Dan, Mak akan tersenyum lagi ketika itu.
            Aku tahu, Abah bukan tidak biasa memandu jauh. Ketika Abah masih dalam perkhidmatan pun Abah tetap memandu. Lebuhraya Utara – Selatan ialah gelanggang Abah berpencak mencari rezeki buat kami sekeluarga. Kadang-kadang, Abah hanya pulang untuk menukar beg yang lain sebelum memutar stereng Saga merah murupnya kembali untuk ke destinasi yang lain pula. Abah biasa memandu 3 atau 4 jam tanpa henti. Hentian rehat hanya untuk bersolat dan membasahkan tekak saja. Kemudian, Abah akan memandu semula.
            Tapi, itu lembaran lama. Usia Abah kian memasuki rangkap terakhir dalam skrip kehidupannya. Usia Saga merah murupnya juga begitu. Sekerap Abah mengulang hospital untuk menjalani sesi rawatan rutinnya, sekerap itu jugalah Saga merah murup Abah ke bengkel Pak Din untuk dibaiki.
            Mak terus melipat kain tanpa memandang Aku di hadapannya.
            “Cuba kamu bayangkan pada satu ketika Sayang dan Cinta tiada dengan kamu. Keadaan kamu yang terbiasa dikelilingi anak-anak, dibelai, dimanja, dikucup tiba-tiba hilang. Suasana yang meriah dengan gelak ketawa, menjerit, menangis sudah senyap sunyi. Apa yang kamu lakukan pada ketika itu ?”
            Aku bingung tiba-tiba. Memandu ? Mungkin juga Aku akan memandu seperti Abah di saat Sayang dan Cinta tiada lagi bersama-sama Aku. Memulas stereng kereta menghayati pemandangan di luar sambil memungut semua kenangan antara Aku, Sayang dan Cinta bersama-sama isteriku. Meladeni sayup-sayup keletah bicara mereka yang barangkali masih tersisa di tempat duduk penumpang. Tidak mustahil juga mengusap renceh kucupan mereka di pipi yang mungkin masih berbahang, menyuraikan perbalahan merebut mainan yang menggamatkan. Mungkin juga hangat dakapan mereka masih Aku rasa, memutar stereng kereta membawa mereka bersiar-siar di kaki Perbukitan Hijau.
            Mungkin juga ketika itu Aku akan merindukan rengekan Sayang dan Cinta untuk dibelikan kereta kawalan jauh dan patung mainan yang harganya setiap satu sama dengan harga sekampit beras 10 kilogram - yang Aku bayar tanpa memikirkan berapa baki wang untuk dibeli barang keperluan yang lain.
Barangkali, mereka juga akan meleteri Aku seperti Aku meleteri Abah apabila Aku menghabiskan waktu berjam-jam memandu dari utara ke selatan bersama-sama isteriku. Mereka juga akan meluahkan kegusaran tentang keadaan kesihatanku yang tidak menentu. Menjejerkan nasihat demi nasihat stereotaip seperti pita perakam bunyi yang didengar berulang kali. Membosankan. Aku juga akan diam dan bingkas dari situ. Mungkin. Aku masih belum memikirkan begitu.
            Betul kata-kata Abah. Anak-anak tidak mengerti apa-apa. Aku seorang anak dan Aku jua tidak mengerti apa-apa. Aku tidak mengerti mengapa harus Abah memandu jauh-jauh tanpa memikirkan lelah di sepanjang perjalanan ? Aku tidak mengerti mengapa Abah tidak meminta Aku menjemput dan menghantarnya ke mana-mana ?
            Abah memang masih kuat. Abah kuat kerana kami – anak-anaknya. Abah masih memutar stereng Saga merah murupnya kerana kami – anak-anaknya. Stereng Saga merah murup kembali Abah putar buat menelusuri denai waktu indah yang hilang dengan ditemani Mak. Helaian waktu yang penuh lakaran gelak ketawa, menjerit, menangis, senda gurau itu diselak kembali sehelai demi sehelai. Reja-reja kenangan itulah yang Abah kutip sepanjang perjalanannya. Dari utara – bermula dari rumah Aku di Tasek Damai ke rumah Adik di Meru Raya – terus ke Puncak Alam, rumah Angah di selatan.
            Di antara utara ke selatan - di antara Tasek Damai ke Puncak Alam – terlalu banyak potret lama yang lusuh dimakan hari. Dibakar jerebu dan dibasahi hujan. Potret-potret kami – anak-anaknya dalam dakapannya – yang tercicir. Abah mengutip semula lalu dibasuhnya dengan air mata. Dibingkaikan dalam hati.
            Anak-anak memang tidak mengerti apa-apa. Seharusnya ia dibiarkan begitu. Kerana itulah, Abah akan terus memandu Saga merah murupnya. Semahunya. Tanpa memikirkan sejauh manakah kami – anak-anaknya mengerti keberadaannya. Mak akan setia di sebelahnya. Sesetia Saga merah murupnya yang menjadi saksi kehadiran kami – anak-anaknya – pernah bermain, menjerit, menangis dan ketawa di sini. Abah membiarkan desiran-desiran itu bertingkah sahut di dalam Saga merah murupnya. Seboleh-bolehnya, biarkan saja Saga merah murup kesayangannya ini bergegar. Seperti gegaran perbalahan Aku dengan Angah merebut kereta kawalan jauh – yang harganya sama dengan harga sekampit beras 10 kilogram itu. Biarkan saja Saga merah murupnya kesayangannya ini bergema dengan jeritan Adik yang menangis diusik Angah. Biarkan.
        Abah masih sukakan begitu. Abah rindukan begitu.
      Abah masih kuat. Abah kuat kerana kami – anak-anaknya. Kerana kekuatan itulah Abah memandu. Dan, akan terus memandu. Abah akan memulas stereng Saga merah murup kesayangannya ini dari utara ke selatan. Mak akan tetap setia di sebelah Abah. Sesetia Saga merah murupnya ini.
      Abah akan terus memandu selagi berupaya. Kerana kami – anak-anaknya – memang tidak mengerti apa-apa. Tidak pernah.