Halaman

Isnin, 30 September 2013

Catatan V : Petikan Bab 3 '15 Oktober : Ops Salah Ed Deen'

ZUKHIR baru selesai mengendalikan sesi latihan pertama untuk pasukan bola sepak sekolah bimbingannya ketika telefon bimbitnya berbunyi. Rakannya, seorang pensyarah di institut latihan pendidikan di hujung talian dengan nada yang agak kecewa.
     “Dr. Salahuddin tidak hadir untuk ucaptama tadi. Pengacara majlis mengumumkan beliau tidak sihat.” Ujar suara di hujung talian.
     “Tiba-tiba ?” Zukhir agak pelik.
     “Aku pun hairan. Dia jarang tiada dalam majlis-majlis utama seperti ini.”
    “Aku pun tertunggu-tunggu juga impak kajian yang dilakukannya di sekolah aku bulan lepas. Harap-harap akan ada sesuatu yang istimewa dalam pembentangannya hari ini.”
     "Mungkin betul dia tidak sihat. Pengarah Perbadanan Kemajuan Insan yang menyampaikan ucaptama dan untuk perasmian penutup. Langsung tiada kejutan.”
     “Bagaimana sekalian yang hadir ?” Zukhir ingin sekali berada di konvensyen itu, namun, tiga puluh dua waktu mengajar dalam seminggu yang diperuntukkan kepadanya dengan lebih tiga perempat daripadanya merupakan kelas peperiksaan amat menyempitkan ruangnya untuk bersama-sama di majlis tersebut. Ketua jabatannya tentu tidak akan membenarkannya keluar untuk menghadiri konvensyen tersebut.

     “Keputusan peperiksaan lebih penting. Ini akan menentukan ranking sekolah kita dalam daerah.” Tutur yang streotaip pada setiap sesi pertemuan bersemuka dengan semua tenaga pengajar di sekolahnya saban minggu.

Tiada ulasan: