Halaman

Rabu, 9 Januari 2013

Catatan Kecil V : Menanti Ababil


"KAU ialah Mashitah. Kerana kau Mashitah - si tukang sisir rambut puteri Firaun - kau wanita gagah. Segagah Mashitah di saat suami dan anak-anaknya direbus minyak panas yang menggelegak. Kau ialah Mashitah, cucuku." Datuk mengusap perlahan rambutnya. Dia memendam esak dalam-dalam. Datuk menghampiri perlahan-lahan setelah mimpi membawanya pergi jauh. Anak parut Balfour itu aman sekali di ranjang. Sekali pun detik-detik rusuh masih panjang. Deklarasi yang menghalalkan jenayah di luar upaya pemikiran waras manusia oleh bangsa Theodore Hertzel membedil naskhah-naskhah kehidupan warga Palestin di hujung AK47. Api sengketa bagai kepingin menghanguskan terus bangsa pewaris tanah suci al-Quds ini. Dan, anak-anak seperti Dia terus terhukum dengan kegilaan ideologi Zionis. Gencatan senjata dan perjanjian damai hanya sekadar omongan murahan di meja rundingan. Datuk sedar itu. Oslo 1993 yang kelihatan sangat bermurah hati menyebabkan Hebron saksi kesyahidan 29 warganya di Masjid Ibrahimi. Tiada jalan yang sempurna pernah ditempuh bagi pembebasan Tanah Kan’an ini. Tiada. Tanggal 630 Masihi, Rasulullah s.a.w menghantar 3,000 orang tentera Islam pimpinan Zaid bin Harithah bagi pembebasan al-Quds mengharungi gelombang 150,000 orang tentera Rom. Misi diteruskan Khulafa’ ar-Rasyidin tanggal 632 Masihi setelah kewafatan Baginda Rasululah s.a.w dengan Abu Bakar as-Siddiq menghantar tentera Usamah bin Zaid, pemuda 17 tahun bagi merebut Palestin dari tangan Rom. Saidina Umar al-Khattab r.a membebaskan Palestin daripada Rom lewat 636 Masihi sebelum ditawan semula oleh tentera Salib pada 1099 Masihi. Nuruddin Mahmoud Zanki terus mengemudi bahtera jihad dengan menewaskan tentera Salib di Asqalan tanggal 1147 Masihi sebelum ditakluk Sultan Salahuddin al-Ayyubi pada 1192 Masihi dan meletakkan Palestin di bawah kekuasaan kerajaan Uthmaniyyah. Bumi al-Quds kembali bergegar di saat keruntuhan Uthmaniyyah. Sememangnya perjalanan segetir itu.

Selasa, 8 Januari 2013

Catatan II : Proses Penciptaan Cerpen 'Menanti Ababil'

'MENANTI Ababil' lahir atas rengsa melihat gelagat rakus Rejim Zionis yang melahap warga Palestin. Saban hari, kisah kerakusan umat Theodore Hertzel  meneguk bergelen-gelen darah rakyat Palestin terutama anak-anak, wanita dan orang-orang tua yang lemah menyesakkan dada. Apa lagi yang diharapkan daripada golongan yang tidak wajar diperangi ini selain melunaskan kegusaran mereka melihat generasi al-Quran di bumi al-Quds ini terus berkembang mekar. Zionis percaya al-Quran pegangan anak-anak kecil inilah yang menyalakan obor perjuangan semarak Nuruddin Mahmud Zanki. Aku menyimpan kekaguman ini sejak sekian lama sehingga 'Menanti Ababil' ini lahir. Pewaris Salahuddin al-Ayyubi ini sangat kental jiwanya hasil didikan al-Quran sehingga selayaknya mereka memegang amanah sebagai penjaga kota al-Quds dan Masjidil Aqsa ini. Baitul Maqdis ialah tempat suci bagi umat Islam. Isyarat awal pembebasan al-Quds telah diterima oleh Rasulullah s.a.w ketika mi'raj ke Sidratul Muntaha lalu ke Mustawa hingga ke bawah Arasy Allah - menembusi tujuh lapisan langit - dari Masjidil Aqsa ini yang ketika itu dikuasai Rom.

 

Sejak itu, Rasulullah s.a.w melaksanakan misi pembebasan Palestin yang dikenali sebagai Tanah Kan'an - kaum terawal menghuni Palestin. Misi pembebasan Palestin hanya terlaksana setelah kewafatan Baginda apabila Khulafa' ar-Rasyidin, Saidina Umar al-Khattab r.a berjaya menewaskan keangkuhan Rom pada 636 Masihi. Tentera Salib berjaya mendapatkan semula Palestin pada 1099 Masihi sebelum Nuruddin Mahmoud Zanki mencetuskan tanda-tanda kejatuhan al-Quds ke tangan tentera Islam setelah menewaskan tentera Salib di Arsalan lewat 1147 Masihi. Sultan Salahuddin al-Ayyubi berjaya menakluk bumi al-Quds ini pada tahun 1192 Masihi dan meletakkan Palestin di bawah kekuasaan kerajaan Uthmaniyyah.

Ketika Khilafah Uthmaniyyah bergegar, Perjanjian Saxes-Baco dimeterai di antara Inggeris dan Perancis yang bertujuan untuk membahagikan tanah jajahan Islam sesama mereka yang menunjukkan bahawa keinginan tinggi Inggeris (yang dikuasai Zionis) untuk menguasai Palestin. Pada akhirnya, Deklarasi Balfour tanggal 1916 dilihat permulaan detik-detik rusuh bagi umat Palestin dan Islam seluruh dunia. Kempen-kempen anti keganasan tajaan mereka sekadar topeng bagi memadam api penentangan - yang lebih dilihat sebagai penghapusan etnik. Namun, ia lebih memuncak saban hari di antara Syeikh Ahmad Yassin, Khalid Meshal dan Syeikh Raed Salah sehingga gegarnya Intifada Pertama 1987.




Watak 'Dia' dalam cerpen ini - Mashitah - seorang anak yang masih hijau ketika Ayah syahid dibedil Zionis. 'Dia' dibesarkan dalam keluarga yang memegang teguh kepada al-Quran dan sentiasa mendoakan agar Ababil dan batu-batu Sijjil melindungi Hebron dan al-Quds seperti mana melindungi Kaabah daripada Abrahah tanggal keputeraan Rasulullah s.a.w. Kakak Maisarah - seorang gadis - berusaha menjadi huffaz yang dilihat sebagai benteng pertahanan kekejaman. Watak Datuk - pemerhati sejarah Palestin yang mengikuti arus jatuh bangun Palestin. 

Di saat Aku mengenangkan Ababil yang datang berbondong-bondong bersama-sama batu-batu Sijjil, sebenarnya, merekalah Sang Ababil itu. Merekalah yang membawa batu-batu Sijjil dan membuatkan Zionis menggelupur seperti daun dimakan ulat. Selayaknya mereka mewarisi Tanah Kan'an ini.

Isnin, 7 Januari 2013

Catatan Kecil IV : Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Menanti Ababil

MENYUSURI sejarah pembebasan Baitul Muqaddis oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi tanggal 20 Syaaban 588H begitu terkesan. Sengaja Aku selak lembar-lembar yang penuh ilustrasi kejayaan tokoh Kurdis tersohor ini bagi memenuhi tuntutan cerpen 'Menanti Ababil' yang berlatarkan Palestin. Kota berkah yang dibuka oleh Saidina Umar al-Khattab r.a ini direbut tentera Salib pada 1099 Masihi sebelum dikuasai kembali oleh tentera Islam lewat 1192 Masihi. Namun, setelah Deklarasi Balfour 1917, Palestin kembali direnggut zalim daripada umat Islam sehingga hari ini. Pelbagai jenayah yang dihalalkan oleh bangsa Theodore Hertzel ini di luar upaya pemikiran waras kita.

Aku mengutip kembali kata-kata almarhum 'Sesiapa yang menakluki Palestin, dia menguasai dunia' sesungguhnya memungkinkan penaklukan yang tercatat dalam sejarah sebagai antara usaha terulung selepas kewafatan Rasulullah s.a.w dalam menegakkan syiar Islam. Akan adakah lagi Salahuddin al-Ayyubi, Nuruddin Mahmud Zanki atau Muhammad al-Fateh bagi dekad-dekad terakhir ini ? Atau nantikan saja Sang Ababil dan batu-batu Sijjil memberi jawapan kepada kebangsatan Zionis ini.

Rabu, 2 Januari 2013

Sajak : Peran


Catatan Kecil III : Freddy Krueger dan Rusuh Awal Januari 2013

AWAL musim yang Aku doakan semalam agar Allah s.w.t mengurniakan kehidupan yang sejahtera berpanjangan tiba-tiba rusuh pagi ini. Aku gamam pada paparan komputer dengan ralat 'This webpage is not available'. Serangan virus ? Pencerobohan ? Talian hayatku diputuskan tanpa sebarang memo peringatan adalah mimpi ngeri di saat permulaan sesi tahun baru yang penuh dengan persiapan menghadapi tugas dan tanggungjawab baru yang dilampirkan bersama-sama arahan-arahan dari ibu pejabat. 


Sasaran Kerja Tahunan, borang-borang audit dan laporan pemantauan masih terbenam di dalam portal yang Aku sendiri bingung untuk mendapatkan soft copy tersebut. Aku masih di hadapan layar ketika si Freddy Krueger dari Elm Street ini telah memarakkan rusuh pada awal Januari ini. Selamat menguak jendela 2013.