Halaman

Rabu, 9 Januari 2013

Catatan Kecil V : Menanti Ababil


"KAU ialah Mashitah. Kerana kau Mashitah - si tukang sisir rambut puteri Firaun - kau wanita gagah. Segagah Mashitah di saat suami dan anak-anaknya direbus minyak panas yang menggelegak. Kau ialah Mashitah, cucuku." Datuk mengusap perlahan rambutnya. Dia memendam esak dalam-dalam. Datuk menghampiri perlahan-lahan setelah mimpi membawanya pergi jauh. Anak parut Balfour itu aman sekali di ranjang. Sekali pun detik-detik rusuh masih panjang. Deklarasi yang menghalalkan jenayah di luar upaya pemikiran waras manusia oleh bangsa Theodore Hertzel membedil naskhah-naskhah kehidupan warga Palestin di hujung AK47. Api sengketa bagai kepingin menghanguskan terus bangsa pewaris tanah suci al-Quds ini. Dan, anak-anak seperti Dia terus terhukum dengan kegilaan ideologi Zionis. Gencatan senjata dan perjanjian damai hanya sekadar omongan murahan di meja rundingan. Datuk sedar itu. Oslo 1993 yang kelihatan sangat bermurah hati menyebabkan Hebron saksi kesyahidan 29 warganya di Masjid Ibrahimi. Tiada jalan yang sempurna pernah ditempuh bagi pembebasan Tanah Kan’an ini. Tiada. Tanggal 630 Masihi, Rasulullah s.a.w menghantar 3,000 orang tentera Islam pimpinan Zaid bin Harithah bagi pembebasan al-Quds mengharungi gelombang 150,000 orang tentera Rom. Misi diteruskan Khulafa’ ar-Rasyidin tanggal 632 Masihi setelah kewafatan Baginda Rasululah s.a.w dengan Abu Bakar as-Siddiq menghantar tentera Usamah bin Zaid, pemuda 17 tahun bagi merebut Palestin dari tangan Rom. Saidina Umar al-Khattab r.a membebaskan Palestin daripada Rom lewat 636 Masihi sebelum ditawan semula oleh tentera Salib pada 1099 Masihi. Nuruddin Mahmoud Zanki terus mengemudi bahtera jihad dengan menewaskan tentera Salib di Asqalan tanggal 1147 Masihi sebelum ditakluk Sultan Salahuddin al-Ayyubi pada 1192 Masihi dan meletakkan Palestin di bawah kekuasaan kerajaan Uthmaniyyah. Bumi al-Quds kembali bergegar di saat keruntuhan Uthmaniyyah. Sememangnya perjalanan segetir itu.

Tiada ulasan: