Halaman

Selasa, 11 Jun 2013

Catatan Panjang II : Cinta Dari Multazam

SATU

DIA bungkam. Bagaikan tidak percaya segala-galanya boleh terjadi. Persis mimpi yang mengerikan. Mengheret dirinya ke jurang kehancuran dengan kejam sekali.

   Syafiq memejamkan matanya. Semoga segala yang berlaku hanyalah mainan ranjang tidurnya sahaja. Moga-moga. Dia berdoa dalam diam.

  Kamar Lembaga Disiplin dan Pengawas itu adalah tempatnya sebelum ini. Bersantai bersama-sama teman sejawat mengisi masa terluang dengan perbincangan-perbincangan seputar tugas mereka sebagai pengawas sekolah. Dia ialah salah seorang pemilik kunci pemilik kunci kamar tersebut. Akrab sekali dia dengan kamar itu.

   Tetapi, bukan pada hari itu...

  Kamar itu juga bungkam menyaksikan dia bagai banduan di sel tahanan menanti hukuman dijatuhkan. Sesungguhnya penantian itu dipenuhi duri-duri yang berceracak, fikirnya sementara menanti ketibaan Cikgu Kamal, guru disiplin yang amat mudah menghanyun rotan itu.

   'Tiada apa yang perlu aku takutkan,' monolognya sendirian memujuk hati. Meredakan debaran yang menghenyak dada. Di luar sedarnya, ada air jernih menuruni pipinya. Pantas hati sekali disapa sayu.

   'Apa salah aku ?'

   "Berikan saya sepuluh alasan awak memungkiri kepercayaan saya terhadap awak." Dia mengangkat kepala. Suara Cikgu Kamal bagai suara dari Jahannam layaknya.

  Nyata tiada sebarang kata yang lahir daripada bibirnya. Pandangannya minta dibelasi. 

   'Mohon saya tidak diperlakukan begini,' bisik kedua belah matanya.

   Kamar itu terasa berbahang meski penghawa dingin berfungsi sebaiknya. Namun, pandangan tajam Cikgu Kamal bagai memanggangnya di atas nyalaan api yang marak.

   "Awak telah mencalarkan imej Lembaga Disiplin dan Pengawas sekolah ini. Saya tak tahu sama ada awak dapat bayangkan betapa sebuah organisasi yang telah dianugerahkan Hadiah Utama Pengurusan Organisasi Terbaik negeri telah dicemari dengan kes disiplin yang dilakukan oleh pengerusinya sendiri !" Wajah Cikgu Kamal kian tegang.

   "Awak bukan sebarangan pelajar. Awak seorang Ketua Pengawas sekali gus Pengerusi Lembaga Disiplin dan Pengawas sekolah ini. Dan, awak ialah penyandang Anugerah Pengerusi Organisasi Terbaik negeri." Cikgu Kamal benar-benar seperti menjulangnya ke udara lalu menghempaskannya ke bumi kembali.

   "Saya tak percaya awak sanggup lakukan perkara ini. Tapi, bagaimana saya mahu menafikannya ? Buktinya cukup jelas. Tanda nama awak dijumpai tersangkut di celah rim basikal yang mahu awak larikan itu."

   'Aku ? Mencuri basikal ? Ahh... Bukan aku !!!'

   Hatinya kian meronta. Bibirnya terkunci rapat. Ada air yang mengalir di antara belahan matanya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana tanda namanya berada di celah rim basikal yang kononnya mahu dicuri itu ? Bukti yang cukup jelas. Tuduhan yang jelas konkrit.

   Pandangannya membelah permaidani kamar itu.

   "Syafiq !!! Saya mahu awak nafikan ! Bukan jadi tunggul kayu mati !!!" Dia terperanjat lantas bangun. Seakan tercabar diperlakukan begitu, dia mengesat saki baki airmatanya.

   "Cikgu, saya tidak akan berkata apa-apa lagi. Memadai saya mengaku tidak bersalah dalam perkara ini. Selainnya, terserah kepada cikgu. Saya bersedia..." Dia merungkai ikatan tali leher dan merentap lencana Ketua Pengawas di koceknya. Bersama blazer yang tersarung, diletakkan di atas meja Cikgu Kamal.

   "Saya meletakkan jawatan mulai sekarang. Bukan kerana saya takut dengan tuduhan begini, tapi saya kesal cikgu telah terlebih awal menjatuhkan hukuman kepada saya." Dia tidak percaya dia sebiadap ini terhadap Cikgu Kamal yang disanjungnya sekian lama.

   "Saya mahu tahu, siapa yang menjumpai tanda nama saya di celah rim basikal mangsa ?" Wajah Cikgu Kamal direnungnya rapat. Perasaan tunduk dan hormat seakan sudah hilang.

   "Awak tidak perlu tahu. Buktinya sudah cukup jelas. Tanda nama di celah rim, pemutar skru, spanar dan playar dalam beg awak. Awak yang melakukan kesalahan ini. Saya lucutkan jawatan awak dan kes ini akan dipanjangkan kepada Pengetua."

   "Terima kasih atas keprihatinan yang tak terhingga cikgu kepada kes saya ini." Dia berlalu dengan hempasan kasar pintu kamar Lembaga Disiplin dan Pengawas.
   
     

2 ulasan:

Cek Lely berkata...

Mantop!!

Amir Azri Ahmad Shakri berkata...

terima kasih... cuma satu percubaan...