Halaman

Rabu, 2 Oktober 2013

Nota II : Daripada 'Cinta Hari-hari Rusuhan' Sehingga 'Sebongkah Batu di Kuala Berang'

SAYA berhajat untuk membaca sedikit pada pagi ini sebagai persediaan untuk meneruskan perjalanan dalam Bab 3 '15 Oktober : Ops Salah Ed Deen' pada malam ini sebelum bergerak ke sebuah pusat latihan bagi mengendalikan sebuah bengkel pengurusan data pada sebelah tengah hari. Pembacaan saya hanya tertumpu kepada beberapa buah karya Dr. Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani (FT). Cinta Hari-hari Rusuhan (CHHR), Perempuan Politikus Melayu (PPM), 1511H (Kombat)(1HK) dan Sebongkah Batu di Kuala Berang (SBKB) sejujurnya merupakan karya yang sangat saya cintai. Mungkin agak keterlaluan untuk menggunakan istilah 'mencintai' kerana kedengaran agak keterlaluan, tetapi, itulah hakikatnya. Saya tumbuh, membesar dan subur dalam dunia penulisan kreatif ini sejak 1998 dengan karya-karya beliau. Saya amat terpengaruh dengan gaya penulisan beliau, idea, pemilihan kata yang tepat dan indah dan sedikit fancy serta bersahaja.


     Tapi, apa yang pasti ialah karya-karya beliau merupakan karya berat yang bukan sahaja memerlukan pembaca untuk berfikir, ia juga datang bersama-sama pakej ilmu dan pengalaman baru yang diacu dalam bentuk penulisan kreatif. Beberapa naskhah novel telah berada di tangan saya bermula Cinta Hari-hari Rusuhan sehingga Sebongkah Batu di Kuala Berang, masih berat dan semakin sarat dengan mesej yang tersirat. Tiada nada cinta melankolik meleret-leret sehingga saya diangkat tinggi ke langit dibuai perasaan meski wujud watak-watak perempuan jelita seperti Tengku Valizah, anak bangsawan yang setia (CHHR), Jenny si perempuan lacur (PPM), Komander Zinnera - 
seorang isteri dan mujahiddah pada ketika yang sama (1HK) dan sekumpulan pelajar wanita yang menghidupkan doku-drama bercirikan Islam dalam SBKB. Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa Faisal Tehrani ? Mengapa tidak tokoh yang lain ? Beratus tokoh penulis tempatan mahu pun Nusantara yang boleh saja diangkat untuk dirujuk atau mungkin ditalaqqi bahannya ? Kalaupun bukan penulis lama, penulis baru (baca : yang seangkatan dengan FT) yang lain juga boleh dijadikan bahan rujukan mahupun panduan contohnya Nisah Haron, Mawar Shafie atau mungkin Zaen Kasturi. Sejujurnya, saya tidak mampu menjawab itu. Cuma mungkin agak janggal kerana FT dibaca sebagai pengagung Syiah (walaupun mungkin bukan pengikut Syiah) sehingga blog beliau ditutup. Naskhah SBKB juga dikhabarkan telah diharamkan kerana mempunyai unsur-unsur Syiah dan boleh dibaca ulasan di http://suarajagat.wordpress.com/2011/12/19/unsur-syiah-dalam-novel-sebongkah-batu-di-kuala-berang-bahagian-1/ .
     Penilaian hanya dipulangkan kepada yang selayaknya. Saya sendiri hanya mengenali beliau melalui naskhah-naskhah kreatif beliau walaupun biasa bertemu di pesta-pesta buku dan mengikuti bengkel-bengkel penulisan yang dihadiri. Belum pernah bersua, berhadapan dan berbual-bual walaupun saya terlalu menginginkannya. Seandainya saya gagal untuk meneliti perkara-perkara seperti yang diulas oleh khalayak yang 'menghadam' setiap naskhah beliau, itu adalah daripada kenaifan saya sendiri kerana setiap naskhah beliau yang berada di tangan saya hanya ditelaah daripada aspek jalan cerita, watak dan perwatakan, gaya bahasa dan olahan serta idea secara umum sahaja. Kerana itulah saya masih boleh menangani naskhah-naskhah beliau biarpun di tengah-tengah amukan 'Faisal Tehrani Syiah' dalam kalangan khalayak. Harapan saya, tiada sesiapa yang akan menuduh saya Syiah hanya kerana mengagumi naskhah-naskhah kreatif Faisal Tehrani - seorang pengagung Syiah (Mungkin ?) Sekian, Wallahua'lam.

Tiada ulasan: