Halaman

Jumaat, 20 September 2013

Catatan III : Petikan Bab 1 '15 Oktober : Ops Salah Ed Deen'

BERITA gempar seawal jam 6.00 pagi - Dr. Salahuddin tiada di kamar kerjanya ! Panggilan dibuat spontan dan sedikit tergesa-gesa ke rumahnya. Isterinya menjawab dengan sukar. Dia tidak pulang sejak semalam. Pembantu peribadinya menyatakan, dia telah dimaklumkan oleh Dr. Salahuddin sendiri bahawa beliau akan berada di kamar kerjanya di pejabat sepanjang malam. Pembentangan esok perlu disiapkan serapinya. Isteri beliau juga dimaklumkan perkara yang sama. Panggilan ke telefon bimbitnya juga menghampakan. Tiada sebarang nada kedengaran di hujung corong.
            Namun, meja tulisnya kelihatan berselerak. Laci dibongkar dengan rak dan buku-buku yang bertaburan. Komputer peribadi berbau hangit dengan slot cakera keras pada unit pemprosesan pusatnya telah lompong. Kesimpulan yang amat mudah - Dr. Salahuddin diculik !
            Gegak seluruh bangunan itu. Semua staf daripada pelbagai jabatan dan unit begitu kecoh. Bermacam-macam andaian dilontarkan meniti dari bibir ke bibir. Presiden Yayasan terkocoh-kocoh pulang dari Ranau dengan penerbangan pertama setelah mendapat perkhabaran daripada Timbalan Presiden yang menjalankan tugas hakiki beliau di sepanjang tempoh mesyuarat berimpak tinggi di Ranau. Segala-galanya begitu kalut.

            Wazir dari organisasi pendidikan telah dimaklumkan oleh setiausaha Presiden Yayasan. Arahan yang diterima dari Pejabat Wazir – “Jangan dimaklumkan kepada sesiapa lebih-lebih lagi kepada media. Seandainya benar, kes ini merupakan kes berprofil tinggi.”

Tiada ulasan: