Halaman

Khamis, 26 September 2013

Nota 1 : Berkarya : Di Antara Lensa Kamera dan Mata Pena

SELAMA tiga hari berakhir hari ini saya bersama rakan-rakan kru produksi menyiapkan tugasan Fullbright English Teaching Assistant Programme di dua buah sekolah di sekitar Kampar. Dan, selama tiga hari ini saya hanya mencatat perkara-perkara yang ringan dalam entri terdahulu kerana agak kepenatan berulang alik dari Ipoh ke Kampar. Namun, banyak perkara yang dipelajari selama tiga hari itu dan ingin saya kongsikan dalam entri kali ini. Yang pertama ialah berkaitan Fullbright English Teaching Assistant Programme itu sendiri. Program ini dijalankan di sekolah menengah dengan menempatkan graduan-graduan kolej dan tenaga profesional muda dengan tujuan untuk meningkatkan keupayaan berbahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid sekolah.
Dalam perbualan bersama pengetua dan mentor kepada tenaga pengajar ini di sekolah-sekolah yang terlibat, program ini dilihat memberi impak yang sangat positif dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah tersebut. Murid-murid dilihat lebih berkeyakinan untuk bertutur dan menulis dalam bahasa tersebut. Situasi ini terakam sempurna di hujung lensa kami dengan pelbagai aksi natural sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan. Uniknya, sesi pengajaran dan pembelajaran tidak hanya tertumpu di dalam bilik darjah sahaja, malah, di kantin sekali pun. Perubahan suasana dilihat mampu merangsang murid-murid untuk belajar, apatah lagi, tenaga pengajar tersebut membawa pelbagai pendekatan yang mampu menarik minat murid-murid seperti permainan kecil dan persembahan berkumpulan. Ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan selaras dasar MBMMBI yang dijalankan di sekolah. Saya berkarya sebenarnya dalam tiga hari ini walaupun tidak di hadapan notebook kesayangan. Kali ini saya menggunakan medium yang berbeza meski punya tujuan yang sama - membawa mesej kepada umum.
Seandainya bermain dengan kata-kata, menungan agak panjang untuk memilih diksi-diksi yang sesuai dan mungkin sedikit puitis berbaur romantis. Contengan di kertas juga agak banyak. Tetapi, apabila mengendalikan kamera, bidikan perlu tepat dan cepat. Jika tidak, syot untuk moment yang terbaik akan hilang begitu saja. Tidak boleh berlama-lama untuk mencipta syot - long shot, profile, medium close-up, close-up - andai tidak mahu terlepas sebarang moment. Single-cam production untuk sesi aktiviti di luar bilik darjah agak mencabar berbanding multi-cam production ketika sesi di dalam bilik darjah. Apatah lagi, saya hanya berada di posisi camera control - tidak perlu mengendalikan kamera. Cabarannya ialah mencipta syot-syot bagi menggambarkan suasana keseluruhan sesi pengajaran dan pembelajaran itu hanya dengan satu kamera bersama-sama back-up sebuah kamera lain yang dipacak wide. Sesi 30 minit agak lama bagi saya apatah lagi sesi yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti perbincangan dalam kumpulan. Syot yang sama dan sukar untuk dipelbagaikan.
Proses penciptaan syot ialah proses berkarya - menyampaikan mesej dengan cara sekreatif mungkin. Tapi, ya, penafsiran bagi 'kreatif' itu tiada sempadan. Kreatif bagi orang A, mungkin tidak bagi orang B. Yang menjadi keutamaan saya ialah teknik yang betul serta kepuasan diri. Saya teringatkan dua orang individu - Faisal Hamdi dan Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor - yang mendidihkan suhu kepuasan berkarya dengan lensa kamera ini ke tahap semaksima mungkin. Darjah kepuasan tetap sama walaupun berkarya dengan medium yang berbeza. Keghairahan tetap ada walaupun subjek penceritaan yang berbeza. Berkarya dengan lensa kamera dan mata pena tiada bezanya. Tools hanya tetap sebagai tools - mesej diterima sesempurna dan setulus mungkin. Selamat berkarya dengan dimensi yang pelbagai.


Tiada ulasan: