Halaman

Ahad, 22 September 2013

Catatan IV : Petikan Bab 2 '15 Oktober : Ops Salah Ed Deen'

PUAN Mashitah masih berteleku di atas sejadah dengan bertelekung lengkap. Dia masih keliru dengan berita kehilangan suaminya. Baru kelmarin dia bersama-sama suaminya – Dr. Salahuddin – menyambut kepulangan anak-anak kembar mereka – Sayang dan Cinta dari Kaherah di Balai Ketibaan Bunga Raya, Lapangan Pesawat Destinasi Antarabangsa. Baru kelmarin mereka berbual-bual tentang rusuh kudeta rejim as-Sisi yang menggulingkan Dr. Morsi – Presiden sah yang dipilih melalui proses demokrasi. Sekaligus menyebabkan peperiksaan dan kuliah pengajian mereka tertangguh dan mereka terhantar kembali ke tanah air dihambat resah kegetiran kehidupan mahasiswa  dengan situasi meruncing di Mesir.
            Suaminya – seperti biasa – tidak banyak bercakap. Hanya sesekali melontar pandangan berkaitan isu yang melanda Mesir. Dia juga mengaitkannya dengan pelbagai isu seputar negara-negara Timur Tengah seperti Tunisia, Libya dan Yaman. Kejatuhan pemerintah-pemerintah yang telah bertahun-tahun memegang tampuk pemerintahan melalui revolusi jalanan ‘Arab Spring’ telah memberi dimensi baru kepada dunia Arab itu sendiri.
            Sayang, seperti biasa dengan nada anak muda yang sentiasa mendidih, saling bertikaman hujah dengan ayahnya. Kenyataannya yang agak menonjol ialah teori 2H - ‘Hidden Hands’ yang mencatur bidak-bidak pada permukaan papan catur ciptaan mereka. Dan, penafian kepada pengiktirafan Ikhwan al-Muslimin sebagai kuasa besar di Mesir – yang mempunyai kesamaan dengan situasi yang dialami oleh FIS di Algeria – mengukuh teori 2Hnya. Lebih jauh lagi, Sayang mendedahkan tentang kepentingan untuk mengekalkan pemerintahan rejim as-Sisi demi kesinambungan penyeksaan ke atas warga Palestin melalui penutupan pintu sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya talian hayat warga Palestin dengan dunia luar.
             Cinta hanya mengalirkan air mata dengan kesyahidan ramai pensyarah dan alim ulama’ yang dibunuh dengan pelbagai keganasan. Dia yang selalu bertalaqqi di penjuru ruang solat Masjid al-Azhar untuk mendapat syahadah dengan seorang alim, tidak dapat lagi begitu. Ustaz tersebut telah menemui syahid angkara penembak tepat rejim dalam sebuah demonstrasi jalanan pinggir Kaherah. Sehingga saat keberangkatan mereka pulang ke tanah air, mereka dikejutkan dengan berita kesyahidan seorang sahabat sekuliah mereka.
            “Kami hanya perlukan doa daripada kalian. Ini tanah air kami dan kami bertanggungjawab ke atasnya sepenuhnya.” Cinta memetik kata-kata almarhumah rakan mereka di saat menghantar mereka ke kenderaan yang menanti untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Tiada ulasan: