Halaman

Isnin, 9 September 2013

Cerpen : Menanti Ababil

"Tidakkah engkau tahu, bagaiman Tuhanmu memperbuat terhadap orang-orang yang mempunyai gajah-gajah ? Tidakkah Dia menjadikan tipu daya mereka sia-sia ? Dan Dia (Allah) mengirim kepada mereka burung yang berbondong-bondong. Yang melemparkan mereka dengan batu dan tanah yang keras. Lalu Allah menjadikan mereka seperti daun yang dimakan ulat."
                                                                                                                                     (al-Fiil 105 : 1 - 5)
DIA telah hafaz surah itu. Dia terlalu faham setiap potong ayat dalam surah itu. Setiap kali Dia bersolat, surah itulah yang dibacanya. Kakak Maisarah sangat pandai mengalunkan ayat-ayat ini dalam Soba. Dia tahu asbabun nuzul surah Makkiyah itu. Setiap inci peristiwa yang berlaku tanggal tahun keputeraan Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun lalu itu semuanya dalam buhulan ingatannya. Datuk pernah menceritakan kepadanya satu ketika dulu. Asy-syahid Ayah juga pernah mengisahkan perkara yang sama.
            “Abrahah al-Ashram sangat zalim. Ketika menjadi gabenor Yaman, dia telah membina sebuah gereja yang indah dengan harapan seluruh dunia akan mengalihkan tumpuan daripada Baitullah di Makkah kepada gerejanya yang sangat indah itu.” Datuk bercerita di bawah tumpahan cahaya lampu minyak tanah. Dia dan Maisarah bersimpuh di hadapan Datuk.
            “Tapi, keindahan gerejanya tidak mampu menarik orang ramai daripada mengunjungi Baitullah. Dia sangat marah. Dia mengambil keputusan untuk menyerang kota Makkah dan meruntuhkan rumah Allah s.w.t itu.”
            “Siapa Abrahah al-Ashram itu, Datuk ? Mengapa dia seberani itu ?” Maisarah bertanya dengan wajah tegang.
            “Abrahah al-Ashram ialah seorang gabenor dari Yaman di bawah kekuasaan kerajaan Habsyah. Beliau mengetuai pemberontakan di Yaman untuk menjatuhkan tentera Habsyah yang diketuai oleh Aryat, seorang pemerintah yang zalim dari kerajaan Habsyah. Al-Ashram bermaksud ‘hidung yang sumbing’ kerana terkena libasan pedang Aryat dalam pertempuran.” Datuk tersenyum memandang cucu-cucunya seraya menghela nafas sebelum menyambung semula.
            “Setelah berjaya menumpaskan Aryat dan tentera Habsyah, Abrahah diangkat menjadi gabenor Yaman dan membina Gereja al-Qulais yang indah untuk menarik pengunjung dari seluruh dunia mengunjungi gerejanya. Namun, beliau gagal lalu membuat keputusan untuk menyerang kota Makkah dan meruntuhkan Kaabah supaya al-Qulais menjadi perhatian ramai.” Dia dan Maisarah masih tidak berganjak dari hadapan Datuk.
            Dia dan Maisarah seakan-akan mendengar derap kaki bala tentera, kuda-kuda dan gajah-gajah yang dipersiapkan Abrahah al-Ashram ke kota Makkah bagi melunaskan kebenciannya terhadap Baitullah. Dengan kekuatan militernya, mereka bergerak menuju kota Makkah.
            “Allah s.w.t telah mengutuskan burung-burung Ababil untuk menghalang Abrahah daripada meruntuhkan Kaabah. Burung-burung Ababil itu membawa batu-batu Sijjil. Setiap yang terkena batu-batu Sijjil ini, tubuh mereka hancur seperti daun yang dimakan ulat.”
            “Abrahah ?” Dia pula bertanya kepada Datuk.
            “Abrahah sendiri menemui ajal di kota San’a. Dia disiksa Allah s.w.t sehingga mati.” Dia dan Maisarah tersenyum puas lalu bangun menuju ke bilik tidur. Sebelum melangkah, Dia berpusing.
            “Ababil akan membantu kita, Datuk ?” Datuk tiada jawapan. Hanya tersenyum seraya melurut janggutnya yang putih.
            Dia sentiasa mendoakan itu. Burung-burung Ababil dengan batu-batu Sijjil yang panas dan beracun berbondong-bondong memenuhi udara al-Khalil ini. Biar tentera-tentera yang mabuk darah itu menggelupur. Seperti daun yang dimakan ulat. Dia benar-benar tidak sabar untuk menyaksikannya.
            Ketika perkampungan kecil mereka dijarah buat kesekian kalinya, Dia terpaku di hadapan pintu. Sosok-sosok agam tentera Zionis menggila dengan AK47 menyerbu rumah-rumah yang hampir menyembah bumi itu. Dia dan Kakak Maisarah terpinga-pinga keluar melihat but-but hitam berkilat menghentam pintu-pintu rumah dan segala benda yang melintas di hadapan mereka. Muncung-muncung senjata diacu kepada penduduk-penduduk yang berada di dalam rumah. Kebanyakannya wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua seperti Datuk. Penuh dengan maki hamun yang tidak tahu hujung pangkal.
            “Mas, mari masuk. Cepat ! Sembunyikan dirimu !” Ummi menyentap lengannya. Dia tersentak lalu gesit ke bilik belakang. Ummi dan Kakak Maisarah sedang menunggu sebelum menutup pintu lalu duduk senyap-senyap di penjuru bilik.
            Dia memejamkan mata. Rapat sekali. Dia berdoa agar Ababil datang. Melempari tentera-tentera itu dengan batu-batu Sijjil yang panas dan beracun. Biar mereka mati seperti daun yang dimakan ulat. Semoga.
            Dia sedang berdoa ketika Ayah – yang datang entah dari mana - menyerbu menghalang tentera-tentera itu daripada menceroboh perkampungan mereka. Dia terus berdoa ketika pipi Ayah dihentak dengan muncung AK47 sehingga membusa darah keluar dari hidungnya. Dan, Dia masih berdoa ketika kepala Ayah ditembusi peluru penembak hendap.
            Dia tetap berdoa di saat asy-syahid Ayah kaku di hadapannya. Dalam luluh dadanya, Dia masih mengharapkan Ababil berbondong-bondong terbang ke al-Khalil. Membantu mengusir penjarah yang mabuk darah ini.
            “Kau ialah Mashitah. Kerana kau Mashitah – si tukang sisir rambut puteri Firaun – manifestasi kegagahan Muslimah dalam kelembutan yang penuh. Kau perlu segagah Mashitah di saat suami dan anak-anak tercinta direbus dalam kawah yang panas menggelegak. Kau ialah Mashitah, cucuku.” Datuk mengusap rambutnya perlahan. Dia mengempang sebak yang mencengkam dada. Dia bersungguh mengekang air mata daripada gugur. Dia mahu sekental Mashitah – si tukang sisir puteri Firaun.
Dia mahu menatap wajah Ayah seperti Mashitah menatap suaminya yang tercinta berlumur minyak yang panas menggelegak itu. Dia mahu segagah Mashitah di saat berhadapan dengan Firaun dalam lembut tuturnya, “Tuhanku ialah Allah s.w.t yang Esa – tiada duanya. Allah s.w.t Tuhanku dan Tuhan kamu sekalian.”
Kematian Ayah pemergian syuhada yang mencetuskan ribut dalam kalangan penduduk. Semua turun ke jalanan dalam protes besar-besaran atas pencerobohan tersebut. Wartawan-wartawan memenuhi ruang hadapan rumah. Merakam gambar Ayah untuk dipanjangkan seantero dunia sebelum diusung ke persemadian.
Bukan kali pertama Dia menyaksikan kematian setragis ini. Bapa Iman juga telah tiada. Dengan kepala yang terpenggal. Ibu Muslim pun telah pergi. Dada ibunya terbelah panjang sekali. Anak di dalam kandungan ibunya direntap kejam. Hari ini, Ayah pula kembali ke rahmat Allah s.w.t. Bumi al-Khalil ini telah basah dengan linangan darah syuhada.
            “Tanah ini sangat mulia di sisiNya.” Dia tidak keluar menikmati musim dingin bersama-sama Syuhada, Amirah dan Raudhah walaupun mereka berkali-kali mengajaknya bermain. Dia lebih senang bersimpuh di hadapan Datuk. Menyurai rindunya kepada almarhum Ayah. Datuk akan bercerita. Tentang kebesaran Allah s.w.t. Tentang kemuliaan tanah suci al-Quds ini.
            “Di sini terbina al-Aqsa yang menjadi kemuliaan ketiga selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Dibuka oleh Saidina Umar al-Khattab r.a sebelum jatuh ke tangan tentera Salib pada tahun 1099 Masihi. Sultan Salahuddin al-Ayyubi merampas kembali Palestin ini daripada tentera Salib pada 1192 Masihi.” Datuk mengelus pipinya. Lembut. Seperti yang selalu dilakukan almarhum Ayah – luka yang tidak mungkin terbebat.
            “Al-Aqsa ialah kiblat pertama orang Islam sebelum diubah mengadap Ka’abah seperti pada hari ini. Al-Aqsa saksi perjalanan Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram ke al-Aqsa terus ke Sidratul Muntaha lalu ke Mustawa hingga ke bawah Arasy Allah - menembusi tujuh lapisan langit. Ingat peristiwa Isra’ Mi’raj ?” Dia mengangguk dengan Buraq – satu langkahan sejauh saujana pandang itu – dalam sahih Bukhari yang dipelajari tertanam di ruang fikirnya. Almarhum Ayah pernah menceritakan kepadanya dulu. Tentang sejarah bumi bertuah Palestin. Tentang kebanggaan anak-anak Palestin sebagai warganya.
            Kakak Maisarah masih bersama Ummi. Mengalunkan surah al-Fiil dalam Soba. Suara Kakak Maisarah merdu sekali. Kakak Maisarah telah hampir juzuk 21 dalam hafazannya.
            “Kau akan menjejaki Kakak Maisarah satu hari nanti. Biar segetir mana pun kehidupan, kembalilah kepadaNya. Hanya Dia Tuhan yang disembah, hanya kepadaNya tempat memohon pertolongan.” Dia angguk. Dia hanya menyudahkan an-Naba’ semalam. Masih belum menghafaznya.
            “Al-Quran ialah kekuatan kita. Doa senjata yang terampuh. Usaikan Maghribmu, cucuku.” Dia bangun lalu berwuduk. Dalam solatnya, tidak ditinggalkan surah al-Fiil. Dalam doanya, Dia melihat Ababil berbondong-bondong memenuhi angkasa al-Khalil. Dengan batu-batu Sijjil, tentera-tentera pemabuk darah itu tergeletak ke tanah lalu hancur seperti daun yang dimakan ulat. Dia memohon agar Tuhan memakbulkan doanya itu.
            Datuk menolak kerusi rodanya perlahan-lahan setelah mimpi membawanya pergi jauh. Anak parut Balfour itu aman sekali di ranjang. Sekali pun detik-detik rusuh masih panjang. Deklarasi yang menghalalkan jenayah di luar upaya pemikiran waras manusia oleh bangsa Theodore Hertzel membedil naskhah-naskhah kehidupan warga Palestin di hujung AK47. Api sengketa bagai kepingin menghanguskan terus bangsa pewaris tanah suci al-Quds ini. Dan, anak-anak seperti Dia terus terhukum dengan kegilaan ideologi Zionis.
Datuk merenung potret berbingkai kaca di dinding lusuh. Satu-satunya potret yang Datuk punya. Potret mereka sekeluarga bersama asy-syahid anaknya dihiasi khat Nasakh. Setelah tabuh Intifada bertingkah lewat Disember 1987, ngauman singa-singa pejuang semakin bergema dari setiap penjuru al-Quds. Syahadah yang menjemput Syeikh Ahmad Yassin seusai solat Subuh tanggal 2004 kian memarakkan jihad. Khalid Meshal diintai maut. Sheikh Raed Salah semakin pantas dihambat rejim. Briged al-Qassam giat memburu syahid.
Gencatan senjata dan perjanjian damai hanya sekadar omongan murahan di meja rundingan. Datuk sedar itu. Oslo 1993 yang kelihatan sangat bermurah hati menyebabkan al-Khalil saksi kesyahidan 29 warganya di Masjid Ibrahimi di tangan Baruch Kappel Goldstein. Siapa yang berani menghakiminya ? Tiada. Kerana Masjid Ibrahimi terletak di al-Khalil yakni Hebron. Dan, mengikut Oslo 1993, Hebron berada dalam ruang jajah Zionis yang menghalalkan darah Muslim tumpah untuk dilahap.
Datuk menengadah ke langit. Merenung sesuatu yang jauh. Datuk sedar, tiada jalan yang sempurna pernah ditempuh bagi pembebasan Tanah Kan’an ini.
Tanggal 630 Masihi, Rasulullah s.a.w menghantar 3,000 orang tentera Islam pimpinan Zaid bin Harithah di perbatasan Mu’tah mengharungi gelombang 150,000 orang tentera Rom Byzantine. Misi diteruskan Khulafa’ ar-Rasyidin tanggal 632 Masihi setelah kewafatan Baginda Rasululah s.a.w dengan Abu Bakar as-Siddiq menghantar tentera Usamah bin Zaid, pemuda 17 tahun ke medan Ubna berhampiran Palestin.
Saidina Umar al-Khattab r.a membebaskan Palestin daripada Rom lewat 636 Masihi sebelum ditawan semula oleh tentera Salib pada 1099 Masihi. Nuruddin Mahmoud Zanki terus mengemudi bahtera jihad dengan menewaskan tentera Salib di Asqalan tanggal 1147 Masihi sebelum ditakluk sepenuhnya Sultan Salahuddin al-Ayyubi pada 1192 Masihi dan meletakkan Palestin di bawah kekuasaan kerajaan Uthmaniyyah.
Bumi al-Quds kembali bergegar di saat keruntuhan Abbasiyyah. Deklarasi Balfour 1916, penaklukan Jeneral Edmund Allenby dan detik-detik rusuh meruap. Hangat pada suhu maksimum ketika tragedi berdarah Deir Yassin 1948, tragedi Khan Younis tanggal 1956, Sabra dan Shatilla massacre pada 1982 dan terus memuncak sehingga mencetuskan Intifada Pertama pada 1987 dan siri-siri Intifada seterusnya. 
     Sememangnya perjalanan segetir itu. Harganya juga terlalu mahal untuk diperdagangkan. Tidak semurah deklarasi rundingan dan perjanjian mainan bibir bernada dusta kerana taruhannya adalah darah umat yang tidak berdosa. Repertoir lapuk dan klise menjemukan Datuk.
     Datuk sangat faham susunan bidak pada papan catur Rejim Zionis yang sangat gentarkan anak-anak Palestin. Rejim melahap anak-anak Palestin kerana terganggu dengan amarah Nuruddin Mahmoud Zanki dan dendam Salahuddin al-Ayyubi yang membakar jiwa mereka di sebalik pertentangan dengan kerikil-kerikil kecil.
     'Ahh... Hanya kerikil kecil yang menggentarkan...' gumam Datuk perlahan.
     Bukan sedikit jiwa anak-anak yang terkorban. Bunga-bunga bangsa yang sedang mekar di bumi Anbia' ini saban hari dibedil daripada dibiarkan kembang dan mekar. Mereka rengsa memikirkan anak-anak seperti Maisarah - yang mengalunkan Soba dalam juzuk-juzuk al-Quran yang dihafaznya - dan Mashitah - yang mendoakan Ababil dengan batu-batu Sijjil berbondong-bondong memenuhi angkasa al-Khalil - membesar sebagai huffaz yang saban hari mendoakan kecelakaan bagiumat Theodore Hertzel ini. Apatah lagi insan sebesar Yahya Ayyash, Dr. Abdullah Azzam, Mahmud Mabhuh dan Abd al-Aziz Rantissi.
Kelopak mata Datuk kian basah. Amanah dipegang seeratnya masih seperti dulu. Datuk menggenggam jemari tuanya ketat-ketat. Ya, Datuk sedar dia tidak punya upaya lagi untuk menghunus senjata. Atau turun ke jalanan dengan batu-batu kecil. Mengejar syahid di antara runtuhan tembok dan celahan bangunan seperti dulu. Tidak.
Namun, untuk menyerahkan Palestin begitu saja, tiada dalam kamus perjuangannya. Parah luka Deir Yassin masih belum terbebat. Darahnya masih merah menyala. Beratus-ratus jiwa yang dilapah Haganah dan Irgun itu termasuk ibu dan bapanya. Ben Gurion mengajarnya menjadi anak jalanan seawal usia 3 tahun sebelum dididik pemuda-pemuda Hamas untuk mengabdikan diri kepada usaha membebaskan tanah suci al-Quds ini. Melangsaikan amanah Salahuddin al-Ayyubi. Selain menghafaz al-Quran, Datuk bermain dengan AK47, raifal, molotov cocktail sehingga mortar, meriam anti-kereta kebal dan Qassam. Itu lembaran hidup Datuk sejak lebih enam dekad yang lalu.
Kini, Datuk sudah tidak punya upaya untuk meneruskan perjuangan. Kaki Datuk yang terputus kedua-duanya dibaham kereta kebal sewaktu menjalani operasi di perbatasan Gaza tidak memungkinkan Datuk mengelek AK47 lagi walaupun denyut nadi mujahidinnya sering menerpa dinding jiwa. Datuk terlalu rindukan suasana itu. Apatah lagi operasi-operasi genting Rejim Zionis kian meruncing.
Datuk hanya mampu menolak kerusi roda perlahan-lahan. Kadang-kadang Maisarah membantu. Mashitah juga membantu. Menantunya juga begitu. Datuk hanya mampu duduk diam-diam di sudut bilik dan berzikir, menekuni al-Quran, bersolat dan berdoa. Memohon agar diberi kekuatan untuk terus menjadi hambaNya di Tanah Kan’an penuh berkat ini.
Datuk memandang Dia yang lenanya masih enak itu. Cucunya yang sering menanti Ababil bersama-sama batu-batu Sijjil. Menghancurkan tentera-tentera Rejim Zionis seperti daun yang dimakan ulat. Mungkin lenanya diulit mimpi-mimpi Ababil itu. Kerana hanya mimpi-mimpi itu saja yang mampu melenakannya saban malam.
'Cucuku, Tanah Kan'an ini milik kita. Kita warisinya daripada keringat Saidina Umar al-Khattab r.a dan pedang Salahuddin Ayyubi. Tanah ini tumpah darah kita. Kitalah Sang Ababil yang berbondong-bondong itu. Kitalah yang mele,parkan Zionis dengan batu-batu Sijjil itu. Kitalah bangsa yang akan membuatkan mereka seperti daun yang dimakan ulat.'

Tiada ulasan: