Halaman

Selasa, 10 September 2013

Catatan Panjang III : Cinta Dari Multazam

DUA

MASUK hari ini sudah tiga hari Papa tidak pulang ke rumah. Sejak Mama meleteri Papa kelmarin, terus Papa menghilangkan diri dengan BMW X6 Papa sehingga hari ini. Papa meninggalkan rumah agam ini dengan pipi Mama merah diterpa penampar Papa...

     "Lebih baik abang beritahu saya, kesan gincu siapa ini ?" Papa pulang agak lewat hari itu. Seperti kebiasaannnya. Dan, Mama menyambut Papa sebegitu rupa.

     "Apa yang awak bebelkan ni ? Dah pukul 3 pagi. Kenapa awak tak tidur lagi ?"

     "Bagaimana saya boleh lelap ? Saya sendirian di rumah, awak entah dengan perempuan mana di luar. Ini kesan gincu siapa ? Jalang mana yang abang usung semalam, ha ?" Mama melontar kemeja Papa tepat ke wajahnya. Kemeja hadiah Mama sempena ulangtahun kelahiran Papa yang lalu. Papa senyap menjinjing beg ke bilik tidur di tingkat atas. 

     Mama kian menahan nafas yang menghentak dada.

     "Saya penat ni. Janganlah semakkan kepala saya. Sudahlah, saya mahu masuk tidur." Papa mendaki anak-anak tangga satu persatu.

     "Mengapa abang lakukan begini kepada saya ? Saya di rumah sediakan segala keperluan awak, anak dan rumahtangga kita. Awak di luar bersenang-lenang dengan betina lain. Awak tak beri izin saya bekerja sebab awak takut tembelang awak pecah, kan ? Awak memang lelaki tak guna ! Tak boleh diharap ! Lebih baik saya mati daripada bersuamikan lelaki seperti awak ! Awak... Arrggghhh !!!"

     Mama tersungkur ke kaki meja kaca, hampir menyinggah bucu meja. Bibir Mama berdarah. Papa menyarung kemeja kembali, menyambar kunci kereta, menghidupkan enjin langsung pergi. Tidak pulang sehingga hari ini.

     Dia memerhati dari biliknya di tingkat atas. Menahan sebak, dihampiri Mama lalu membawanya ke kamar tidur. Membasuh luka Mama. Memicit kepala Mama yang sengal diterpa penampar Papa. Tiada satu pun perkataan yang terkeluar daripada bibirnya mahu pun Mama. Kedua-duanya bagai berjanji. Segala-galanya hanya mereka berdua saja yang tahu.

     Dia amat tidak senang dengan situasi begini. Tapi, tiada apa yang mampu dilakukannya. Hanya merafak sepotong dua doa setiap kali seusai solat. Agar ketenangan dan kedamaian hadir jua nanti.

     "Cinta, Mama ada satu perkara yang Mama nak katakan." Mama masih seperti dulu. Membelai rambutnya yang ikal dan mengurai itu setiap petang ketika bersantai bersama di taman orkid Mama. Masih seperti kebiasaannya cuma kali ini tanpa Papa.

     "Kita akan berpindah..." Dia terperanjat. Keputusan yang agak mengejutkan. Dia tidak pernah menyangka Mama sepantas ini membuat keputusan untuk kembali ke kampung. Dia bagai dapat membayangkan keadaan di kampung seandainya Mama tegar untuk pulang. Dia hanya bungkam mengunci bibir.

     "Kita akan pulang ke rumah arwah Atuk. Cinta suka, kan ?" Dia tiada berkuasa menghalang walau apa pun keputusan Mama, tapi...

     "Bukankah Mama sudah berjanji ? Mama tidak akan pulang lagi, kan ? Masihkah Mama ingat ?" Mama diam. Keterlanjuran semalam perlu dicuci. Jika tidak sekarang, mungkin pada kesempatan yang lain.

     "Sudah saya katakan, saya tetap akan bersama Abang Idzham walau apa pun yang terjadi." Hati Mama memang keras. Tidak dapat dibentuk. Itulah satu-satunya harta yang Mama warisi daripada Atuk.

     "Kalau itu yang kau mahu, keluar kau dari rumah ini ! Aku tak punya anak yang sanggup menjual keluarga hanya kerana lelaki yang entah dari mana datangnya ini !" Ayah benar-benar menyinga. Mak kematian kata-kata. Sedu-sedan Achik kedengaran dari biliknya yang bertutup rapat. Abang Long masih di kebun.

     "Memang saya akan pergi. Usah berharap saya akan kembali lagi biar langit runtuh sekali pun !" Dia membuka langkah tanpa menoleh.

     "Mama..." Mama tersedar dari lamunannya. Jemari lembut Cinta menyapu rembesan air mata melontarkannya kembali ke ruang nyata.

     "Mama akan kembali ? Ke rumah Atuk ?" Mama mengangguk. Perlahan. Menatap sayu anak gadis 17 tahunnya itu.

     "Kita akan kembali ke rumah Atuk." Dia mengangguk. Juga perlahan.

     "Tapi, Pak Long ? Nanti dia pukul Mama..."

Tiada ulasan: