ABAH
masih kuat. Dalam usianya yang menjangkau 60, Abah masih mampu memutar stereng Saga
merah murupnya ke sana ke mari. Seandainya minggu ini Abah berada di Meru Raya
menjenguk Adik, belum tentu Abah akan berada di Desa Kencana pada minggu
hadapan. Sekurang-kurangnya berehat melerai lelah sambil membetulkan pinggang yang
mencucuk setelah jauh memandu. Tidak. Mungkin Abah akan memandu lagi – ke rumah
Angah di Puncak Alam pula. Mungkin Abah akan ke rumah kami di Tasek Damai. Abah
akan terus memandu. Semahunya.
Mak penumpang Abah yang paling
setia. Menemaninya berbual di sepanjang perjalanan. Apabila Mak mula menguap,
Abah akan menepuk bahu Mak. Dan, Mak akan tersentak lalu meneruskan bualan. Sejak
Abah menanggalkan kemeja dan tali leher daripada jawatannya dua tahun yang
lalu, Mak sentiasa bersama Abah. Mak tidak pernah bersungut untuk selalu
bersama Abah walau dalam apa keadaan sekali pun. Keperluan disiapkan selengkapnya
apabila Abah membuat keputusan untuk memandu. Tidak pernah kurang segala
pakaian, tuala mandi, berus gigi, sejadah, kopiah, al-Quran kecil dan
ubat-ubatan. Mak begitu memahami keperluan Abah yang agak cerewet.
Ketika Abah masih bertugas dulu, Mak
yang paling sibuk menyiapkan segala keperluan apabila Abah ditugaskan ke luar
kawasan. Unit Abah dulu sentiasa memerlukan Abah berada di luar daerah sehingga
melangkau sempadan negeri. Mak masih setia menyiapkan segala keperluan Abah
walaupun Abah sudah agak lama meninggalkan timbunan fail dan kertas-kertas
berselerakan di atas meja. Sesetia Saga merah murup Abah yang masih diputar
sterengnya sehingga kini.
Kami sendiri perlu mengatur
temujanji lewat kepulangan kami ke Desa Kencana pada setiap bulan. Seringkali
kepulangan kami disambut dengan jendela dan pintu gelangsar yang bertutup rapat
andai kepulangan kami tidak dimaklumkan. Pintu berjerejak besi berselak kemas dengan
mangga kunci putih berkilat. Saga merah murup Abah yang selalu digilapnya juga
tiada di garaj. Motor yang selalu Abah tunggang ke surau di hujung desa
kelihatan rapi berselimut. Kelihatan seperti Abah dan Mak sedang melakukan
perjalanan yang jauh. Mungkin juga ke rumah Mak Yang di Bandar Selatan. Atau
melewati rumah Cu di Seri Saujana. Niat untuk membuat kejutan terpadam segera.
Sayang dan Cinta kembali ke muka pintu kereta dengan wajah suram.
“Atuk dan Opah tiada di rumah.
Mungkin ke rumah Ayah Nyah.” Isteriku memujuk anak-anakku yang mula menggumam
seraya mengusap-usap kepala mereka.
Pernah juga beberapa kali Aku
suarakan kerisauan. Tentang perjalanan jauh yang tidak lagi sesuai pada usia
Abah yang mencecah senja. Merentas lebuhraya sepanjang masa ialah tabiat yang
perlu dikurangkan. Apatah lagi Saga merah murup Abah yang seusia denganku juga
agak kerap merajuk. Abah boleh saja menaiki bas ekspres. Perjalanan dengan tren
juga tidak sesukar dulu. Wafiy anak Abang Manap yang tinggal di hadapan rumah
tentu saja boleh menghantar Abah dan Mak ke Medan Hentian. Atau Aku sendiri
boleh menjemput dan menghantar Abah dan Mak terus ke halaman rumah seandainya
mahu menziarahi anak-anak atau saudara-mara.
“Kamu sibuk. Kerja banyak di pejabat,”
ujar Abah pendek, bangun lalu mencempung Cinta dan memimpin tangan Sayang,
cucu-cucu kemanjaannya ke luar rumah. Menilik-nilik Saga merah murup
kesayangannya.
Mak hanya tersenyum ketika Aku
memalingkan pandang ke arahnya. Benar kata Abah. Aku sering dikekang masa
dengan tugasan pejabat. Ada ketika, Aku terpaksa berada di luar kawasan selama
beberapa hari, mungkin beberapa minggu. Di saat itu, anak-anakku akan sekerap
mungkin melakukan panggilan video kepadaku. Kecanggihan teknologi tanpa wayar
dimanfaatkan seoptimum yang mungkin oleh anak-anakku. Hanya untuk menatap wajah,
menyatakan kerinduan dan mendesak Aku untuk segera pulang ke rumah.
“Ayah,
baliklah. Cinta rindu.”
“Ayah,
Sayang nak mainan. Baliklah, Ayah.”
Pantas
sekali panggilan-panggilan itu membuatkan aku dihimpit rasa bersalah. Mereka
terlalu kecil untuk memahami tugas seorang pencari nafkah seperti Aku. Terlalu
hijau untuk memahami pengorbananku berjauhan dengan mereka untuk memenuhi
segala hak dan keperluan mereka. Mereka hanya tahu Aku akan sentiasa bersama
mereka. Bermain, ketawa, bergurau, mengusap pipi dan mencium dahi mereka.
Setiap masa.
Begitu
Abah dan Mak. Aku tidak pernah menidakkan hak Abah dan Mak sebagai ibubapaku
walau sesibuk manapun Aku. Aku akan pulang ke Desa Kencana sekerap mungkin
untuk melunaskan tanggungjawabku. Belanja bulanan juga Aku bereskan setiap kali
kepulanganku – walaupun itu bukan permintaan mereka. Sama seperti Abah yang
tidak pernah menafikan hak Aku sebagai seorang anak di celah-celah kesempitan
waktu dihambat tugasan pejabat.
Abah memang masih kuat. Saga merah
murup Abah juga masih kuat. Abah kuat kerana kami - anak-anaknya. Saga merah
murup Abah kuat kerana Abah ialah tuannya. Abah tidak pernah menghampakan. Aku
masih merasakan kehadirannya dalam kehidupan seharianku meski Aku sudah punya
kehidupan sendiri. Aku akan bersila di sisinya setiap kali pulang ke Desa
Kencana - melihat gelagatnya melayan karenah anak-anakku – cucu-cucunya yang
agak ligat itu. Aku hanya sekadar mahu merasakan denyut nadinya mengalir dalam
diriku. Sekadar mahu menyedari kehadirannya di sisiku.
Abah banyak bertanya pelbagai
soalan. Kebanyakannya berkisar tentang Sayang dan Cinta yang kian membesar.
Abah akan mula berleter panjang andai ada aduan yang dipanjangkan kepadanya
perihal cucu-cucu kemanjaannya itu.
“Jangan dipukul anak-anak. Anak-anak
sebesar ini belum mengerti apa-apa walau sekuat mana pun mereka dipukul.
Memadai sekadar ditegur.”
Setiap kali Aku berhadapan dengan
keletah anak-anakku, Aku sentiasa mengingati Abah. Abah memang kuat. Abah kuat
kerana kami – anak-anaknya. Bukan sekali dua Aku menyaksikan Abah hampir-hampir
tidak berjaya dalam kehidupan sukarnya. Terlalu banyak. Tapi, Abah masih kuat.
Abah masih gigih hanya kerana kami – anak-anaknya. Abah masih mampu berdiri
hanya kerana kami – anak-anaknya. Abah cekal meneruskan kehidupan semarak Saga merah
murupnya – hanya kerana kami – anak-anaknya. Dan, hanya kerana kami – anak-anaknya,
Abah masih mampu tersenyum walau segetir mana pun perjalanan hidup yang
ditempuhinya.
Bukan sekali dua Aku lihat Abah
bersendirian bungkam sambil menyeka matanya. Terlalu banyak. Dan, dalih Abah
tetap sama.
“Mata Abah pedih. Masuk habuk.” Ringkas.
Abah memang pintar menyembunyikan
riak gundah pada raut wajahnya. Terutama ketika kami melintasi kedai mainan.
Abah memang tidak pernah gagal melunaskan permintaan kami. Aku sendiri tidak
pernah mengerti sebanyak manakah wang yang berlipat-lipat di dalam dompetnya
yang menggelupas itu.
Benar bicara Abah. Anak-anak memang
tidak mengerti apa-apa. Dan, biarlah mereka tidak mengerti. Aku lebih senang
begitu. Mereka tidak perlu mengerti kegetiran Aku menyuapkan mereka dengan nasi
yang Aku peroleh daripada titis keringat Aku yang tumpah. Tidak perlu. Kerana
kehadiran mereka – Sayang dan Cinta - adalah nikmat kurniaan-Nya yang perlu Aku
syukuri dengan cara itu.
Aku percaya Abah juga begitu.
Kegetiran hidup dan lingkungan waktu yang terhad bukan alasan Abah. Abah
sentiasa berada bersama-sama kami – anak-anaknya walau sejauh mana Abah
dihambat tugasan rasmi pejabat. Abah akan lekas-lekas menukar pakaian dan
membawa kami keluar bersiar-siar di sekeliliing rumah setiap kali pulang dari
pejabat.
Kami akan panjat tingkap memerhati
keluar halaman andai Abah tidak sampai ke rumah pada waktu-waktu kebiasaannya.
Jiwa sering diterpa kacau. Bukan memikirkan perkara buruk yang berkemungkinan terjadi
pada Abah di jalanan, tapi waktu yang semakin larut. Abah tidak mungkin membawa
kami bersiar-siar jika matahari mula mengengsot. Dan, kami akan terlepas ais
krim yang dihimpit roti ban Pak Pin yang berjualan keliling kampung dengan
basikal roda tiganya itu. Itu yang lebih membimbangkan kami.
Benar kata-kata Abah. Anak-anak
tidak mengerti apa-apa. Tidak seharusnya Sayang dan Cinta diminta mengerti
dalam apa jua kepayahan hidup sekali pun. Mereka hanya anak-anak kecil yang
perlu perhatian dan kasih sayang, dimanjai dan diakrabi. Anak-anakku – Sayang
dan Cinta – hanya berusia sekitar 3 dan 4 tahun. Usia yang sama ketika Aku
merengek meminta dibelikan kereta kawalan jauh yang harganya sama dengan harga sekampit
beras 10 kilogram. Tanpa dalih, Abah mula membuka dompet lalu mengira sejumlah
wang di dalamnya. Tidak cukup. Abah menyeluk saku pula. Terjatuh beberapa
keping not RM1 dan RM5 dan Abah mengira lagi. Akhirnya, not-not itu bertukar
tangan dan Aku pantas menggendong kereta kawalan jauh itu terus ke kereta tanpa
menoleh kepada Abah. Pada ketika yang sama, Angah dan Adik mula menjerit kepada
Abah meminta dibelikan kereta yang sama untuk mereka. Abah tetap tersenyum.
Abah
mula memutar stereng Saga merah murupnya ke sana sini sebaik saja kami mula
bekerja dan berkahwin. Seminggu sekali kadang-kadang dua kali Mak akan menemani
Abah memandu. Tasek Damai, Puncak Alam, Meru Raya, Bandar Selatan, Seri Saujana
dan ke mana-mana saja. Abah hanya diam ketika dinasihatkan untuk mengurangkan
aktiviti memandunya itu. Andai terlalu panjang leteran, Abah akan bangun ke
halaman. Sayang dan Cinta akan membuntuti Abah hingga ke luar.
Dan, Mak akan tersenyum lagi ketika
itu.
Aku tahu, Abah bukan tidak biasa
memandu jauh. Ketika Abah masih dalam perkhidmatan pun Abah tetap memandu.
Lebuhraya Utara – Selatan ialah gelanggang Abah berpencak mencari rezeki buat
kami sekeluarga. Kadang-kadang, Abah hanya pulang untuk menukar beg yang lain
sebelum memutar stereng Saga merah murupnya kembali untuk ke destinasi yang lain
pula. Abah biasa memandu 3 atau 4 jam tanpa henti. Hentian rehat hanya untuk
bersolat dan membasahkan tekak saja. Kemudian, Abah akan memandu semula.
Tapi, itu lembaran lama. Usia Abah kian
memasuki rangkap terakhir dalam skrip kehidupannya. Usia Saga merah murupnya
juga begitu. Sekerap Abah mengulang hospital untuk menjalani sesi rawatan
rutinnya, sekerap itu jugalah Saga merah murup Abah ke bengkel Pak Din untuk
dibaiki.
Mak terus melipat kain tanpa
memandang Aku di hadapannya.
“Cuba kamu bayangkan pada satu
ketika Sayang dan Cinta tiada dengan kamu. Keadaan kamu yang terbiasa
dikelilingi anak-anak, dibelai, dimanja, dikucup tiba-tiba hilang. Suasana yang
meriah dengan gelak ketawa, menjerit, menangis sudah senyap sunyi. Apa yang
kamu lakukan pada ketika itu ?”
Aku bingung tiba-tiba. Memandu ?
Mungkin juga Aku akan memandu seperti Abah di saat Sayang dan Cinta tiada lagi
bersama-sama Aku. Memulas stereng kereta menghayati pemandangan di luar sambil
memungut semua kenangan antara Aku, Sayang dan Cinta bersama-sama isteriku.
Meladeni sayup-sayup keletah bicara mereka yang barangkali masih tersisa di
tempat duduk penumpang. Tidak mustahil juga mengusap renceh kucupan mereka di
pipi yang mungkin masih berbahang, menyuraikan perbalahan merebut mainan yang
menggamatkan. Mungkin juga hangat dakapan mereka masih Aku rasa, memutar stereng
kereta membawa mereka bersiar-siar di kaki Perbukitan Hijau.
Mungkin juga ketika itu Aku akan
merindukan rengekan Sayang dan Cinta untuk dibelikan kereta kawalan jauh dan
patung mainan yang harganya setiap satu sama dengan harga sekampit beras 10
kilogram - yang Aku bayar tanpa memikirkan berapa baki wang untuk dibeli barang
keperluan yang lain.
Barangkali,
mereka juga akan meleteri Aku seperti Aku meleteri Abah apabila Aku
menghabiskan waktu berjam-jam memandu dari utara ke selatan bersama-sama
isteriku. Mereka juga akan meluahkan kegusaran tentang keadaan kesihatanku yang
tidak menentu. Menjejerkan nasihat demi nasihat stereotaip seperti pita perakam
bunyi yang didengar berulang kali. Membosankan. Aku juga akan diam dan bingkas
dari situ. Mungkin. Aku masih belum memikirkan begitu.
Betul kata-kata Abah. Anak-anak
tidak mengerti apa-apa. Aku seorang anak dan Aku jua tidak mengerti apa-apa.
Aku tidak mengerti mengapa harus Abah memandu jauh-jauh tanpa memikirkan lelah
di sepanjang perjalanan ? Aku tidak mengerti mengapa Abah tidak meminta Aku
menjemput dan menghantarnya ke mana-mana ?
Abah memang masih kuat. Abah kuat
kerana kami – anak-anaknya. Abah masih memutar stereng Saga merah murupnya
kerana kami – anak-anaknya. Stereng Saga merah murup kembali Abah putar buat menelusuri
denai waktu indah yang hilang dengan ditemani Mak. Helaian waktu yang penuh lakaran
gelak ketawa, menjerit, menangis, senda gurau itu diselak kembali sehelai demi
sehelai. Reja-reja kenangan itulah yang Abah kutip sepanjang perjalanannya.
Dari utara – bermula dari rumah Aku di Tasek Damai ke rumah Adik di Meru Raya –
terus ke Puncak Alam, rumah Angah di selatan.
Di antara utara ke selatan - di
antara Tasek Damai ke Puncak Alam – terlalu banyak potret lama yang lusuh
dimakan hari. Dibakar jerebu dan dibasahi hujan. Potret-potret kami – anak-anaknya
dalam dakapannya – yang tercicir. Abah mengutip semula lalu dibasuhnya dengan
air mata. Dibingkaikan dalam hati.
Anak-anak memang tidak mengerti
apa-apa. Seharusnya ia dibiarkan begitu. Kerana itulah, Abah akan terus memandu
Saga merah murupnya. Semahunya. Tanpa memikirkan sejauh manakah kami – anak-anaknya
mengerti keberadaannya. Mak akan setia di sebelahnya. Sesetia Saga merah
murupnya yang menjadi saksi kehadiran kami – anak-anaknya – pernah bermain, menjerit,
menangis dan ketawa di sini. Abah membiarkan desiran-desiran itu bertingkah
sahut di dalam Saga merah murupnya. Seboleh-bolehnya, biarkan saja Saga merah
murup kesayangannya ini bergegar. Seperti gegaran perbalahan Aku dengan Angah
merebut kereta kawalan jauh – yang harganya sama dengan harga sekampit beras 10
kilogram itu. Biarkan saja Saga merah murupnya kesayangannya ini bergema dengan
jeritan Adik yang menangis diusik Angah. Biarkan.
Abah masih sukakan begitu. Abah
rindukan begitu.
Abah masih kuat. Abah kuat kerana
kami – anak-anaknya. Kerana kekuatan itulah Abah memandu. Dan, akan terus
memandu. Abah akan memulas stereng Saga merah murup kesayangannya ini dari
utara ke selatan. Mak akan tetap setia di sebelah Abah. Sesetia Saga merah
murupnya ini.
Abah
akan terus memandu selagi berupaya. Kerana kami – anak-anaknya – memang tidak mengerti
apa-apa. Tidak pernah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan