Halaman

Selasa, 8 Januari 2013

Catatan II : Proses Penciptaan Cerpen 'Menanti Ababil'

'MENANTI Ababil' lahir atas rengsa melihat gelagat rakus Rejim Zionis yang melahap warga Palestin. Saban hari, kisah kerakusan umat Theodore Hertzel  meneguk bergelen-gelen darah rakyat Palestin terutama anak-anak, wanita dan orang-orang tua yang lemah menyesakkan dada. Apa lagi yang diharapkan daripada golongan yang tidak wajar diperangi ini selain melunaskan kegusaran mereka melihat generasi al-Quran di bumi al-Quds ini terus berkembang mekar. Zionis percaya al-Quran pegangan anak-anak kecil inilah yang menyalakan obor perjuangan semarak Nuruddin Mahmud Zanki. Aku menyimpan kekaguman ini sejak sekian lama sehingga 'Menanti Ababil' ini lahir. Pewaris Salahuddin al-Ayyubi ini sangat kental jiwanya hasil didikan al-Quran sehingga selayaknya mereka memegang amanah sebagai penjaga kota al-Quds dan Masjidil Aqsa ini. Baitul Maqdis ialah tempat suci bagi umat Islam. Isyarat awal pembebasan al-Quds telah diterima oleh Rasulullah s.a.w ketika mi'raj ke Sidratul Muntaha lalu ke Mustawa hingga ke bawah Arasy Allah - menembusi tujuh lapisan langit - dari Masjidil Aqsa ini yang ketika itu dikuasai Rom.

 

Sejak itu, Rasulullah s.a.w melaksanakan misi pembebasan Palestin yang dikenali sebagai Tanah Kan'an - kaum terawal menghuni Palestin. Misi pembebasan Palestin hanya terlaksana setelah kewafatan Baginda apabila Khulafa' ar-Rasyidin, Saidina Umar al-Khattab r.a berjaya menewaskan keangkuhan Rom pada 636 Masihi. Tentera Salib berjaya mendapatkan semula Palestin pada 1099 Masihi sebelum Nuruddin Mahmoud Zanki mencetuskan tanda-tanda kejatuhan al-Quds ke tangan tentera Islam setelah menewaskan tentera Salib di Arsalan lewat 1147 Masihi. Sultan Salahuddin al-Ayyubi berjaya menakluk bumi al-Quds ini pada tahun 1192 Masihi dan meletakkan Palestin di bawah kekuasaan kerajaan Uthmaniyyah.

Ketika Khilafah Uthmaniyyah bergegar, Perjanjian Saxes-Baco dimeterai di antara Inggeris dan Perancis yang bertujuan untuk membahagikan tanah jajahan Islam sesama mereka yang menunjukkan bahawa keinginan tinggi Inggeris (yang dikuasai Zionis) untuk menguasai Palestin. Pada akhirnya, Deklarasi Balfour tanggal 1916 dilihat permulaan detik-detik rusuh bagi umat Palestin dan Islam seluruh dunia. Kempen-kempen anti keganasan tajaan mereka sekadar topeng bagi memadam api penentangan - yang lebih dilihat sebagai penghapusan etnik. Namun, ia lebih memuncak saban hari di antara Syeikh Ahmad Yassin, Khalid Meshal dan Syeikh Raed Salah sehingga gegarnya Intifada Pertama 1987.




Watak 'Dia' dalam cerpen ini - Mashitah - seorang anak yang masih hijau ketika Ayah syahid dibedil Zionis. 'Dia' dibesarkan dalam keluarga yang memegang teguh kepada al-Quran dan sentiasa mendoakan agar Ababil dan batu-batu Sijjil melindungi Hebron dan al-Quds seperti mana melindungi Kaabah daripada Abrahah tanggal keputeraan Rasulullah s.a.w. Kakak Maisarah - seorang gadis - berusaha menjadi huffaz yang dilihat sebagai benteng pertahanan kekejaman. Watak Datuk - pemerhati sejarah Palestin yang mengikuti arus jatuh bangun Palestin. 

Di saat Aku mengenangkan Ababil yang datang berbondong-bondong bersama-sama batu-batu Sijjil, sebenarnya, merekalah Sang Ababil itu. Merekalah yang membawa batu-batu Sijjil dan membuatkan Zionis menggelupur seperti daun dimakan ulat. Selayaknya mereka mewarisi Tanah Kan'an ini.

Tiada ulasan: