MUHAMMAD Danial - anak kecil asuhan ibuku - baru saja menginjak usia 3 tahun. Keletah bicara meski tiada siapa pun yang memahami butir katanya. Bersama adiknya - Muhammad Haziq - setiap hari dihantar mummynya ke rumahku untuk diasuh ibu. Mummynya seorang guru di sebuah sekolah di tengah bandar ini. Seorang anak yang menjadi kemanjaan kami sekeluarga. Apatah lagi ibu (yang dipanggil opah) dan ayahku (yang dipanggil atuk) kerana kami anak-anaknya semua telah bekerja. Segala kemanjaan dan kasih sayang tertumpah kepada anak-anak kecil ini. Aku juga sering terhibur dengan gelagat mereka dan melayani mereka selayaknya. Pasti aku tidak sabar menanti waktu untuk pulang dari pejabat saban hari untuk bersama anak-anak asuhan ibuku ini.
Pernah pada suatu ketika, ibuku terpaksa pulang ke kampung dan anak-anak ini terpaksa diasuh oleh jiran mummynya. Aku tidak sanggup untuk membiarkan mereka diasuh oleh orang lain selain daripada kami. Bayangan kisah rakan-rakanku yang menghantar anak mereka ke rumah pengasuh sering menyajikan cerita yang kurang enak. Lalu aku memutuskan untuk mengambil cuti dan mengasuh mereka di rumah sehingga perkara ini dijadikan bahan lelucon rakan-rakan sejawatku di pejabat.
Sehingga pada suatu hari, ibuku terpaksa ke hospital untuk memenuhi temujanji. Danial dan Haziq terpaksa ditinggalkan bersama neneknya yang datang dari Pulau Pinang semata-mata untuk mengasuh mereka. Jam 10.00 pagi ayahku menghantar SMS yang menyatakan Danial tunjuk protes kerana tidak menghantarnya ke rumah atuk dan opahnya.
'Tunjuk protes ?' Aku tidak dapat membayangkan apakah bentuk protes yang ditunjukkan oleh anak kecil ini. Sehinggalah mummynya membuka kisahnya kepada ibuku dalam juraian air mata. Menurut mummynya, Danial tidak mahu makan dan minum, tidak mahu mandi dan berpakaian, menyepahkan alat solek, membongkar almari baju dan menyerakkan dan menangis tidak berhenti-henti. Dia hanya menyebut 'opah, atuk' di sepanjang dua hari diasuh neneknya.
Aku tidak mampu membuka mulut dan fikirku hanya tertumpu pada anak kecil ini. Anak sekecil ini sudah pandai protes dan sesungguhnya perlakuan ini begitu membekas kuat dalam diriku. Aku mungkin masih belum mempunyai anak (buat masa ini...) tetapi pengalaman bersama anak kecil ini begitu memberi aku ruang untuk meneroka dan memahami dunia kecilnya.
Begitulah kisah Danial, anak kecil kemanjaanku ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan